Home / Isu Semasa / Walaupun teruk dikritik, Singapura luluskan undang-undang ‘berita palsu’

Walaupun teruk dikritik, Singapura luluskan undang-undang ‘berita palsu’

Rabu lalu, Parlimen Singapura telah meluluskan undang-undang untuk menentang “berita palsu” yang mana membenarkan pihak berkuasa untuk memberi arahan menarik balik pengisian atas talian walaupun mendapat kritikan hebat daripada syarikat teknologi gergasi serta kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan hak bersuara.

Menteri-menteri kerajaan diberikan kuasa besar yang membolehkan mereka mengarahkan mana-mana laman media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk meletakkan amaran bersebelahan mana-mana siaran yang dianggap palsu oleh pihak berkuasa, ataupun memaksa siaran itu dikeluarkan bagi kes-kes yang lebih berat.

Manakala jika sesuatu tindakan itu diputuskan oleh hakim sebagai berniat jahat dan merosakkan kepada kepentingan-kepentingan Singapura, syarikat-syarikat tersebut boleh dihentam dengan denda sehingga S$1juta ($735,000).

Individu pula boleh dikenakan tempoh penjara sehingga 10 tahun.
Pihak berkuasa di negara dengan pengawalan ketat – telah lama dikritik kerana menyekat kebebasan sivil – menegaskan bahawa langkah itu perlu untuk menghentikan penyebaran maklumat-maklumat palsu yang boleh memecah-belahkan masyarakat dan menghakis kepercayaan kepada institusi pemerintah.

Namun undang-undang itu telah mencetuskan kemarahan kumpulan-kumpulan hak bersuara yang gusar bila ianya boleh menyekat perbincangan atas talian, syarikat-syarikat teknologi yang berpangkalan di sini serta organisasi-organisasi kewartawanan.

Undang-undang ini “memberi kuasa tidak terkawal kepada pihak berkuasa Singapura untuk menyekat pandangan-pandangan atas talian yang tidak disetujui,” kata Nicholas Bequelin, Pengarah Amnesty International bagi Rantau Timur dan Asia Tenggara.

“Ianya menjenayahkan kebebasan bersuaran dan mengizinkan kerajaan kuasa hampir tidak terkawal untuk menapis tentangan.  Ianya juga tidak menyediakan sebarang definisi sebenar tentang apa yang benar dan salah, atau yang lebih merisaukan, ‘mengelirukan’.”

– ‘Undang-undang meluas’ – Langkah-langkah ini diperdebatkan selama dua hari di parlimen, yang mana didominasikan oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) sebelum diluluskan lewat Rabu lepas.

Pembangkang dari Parti Pekerja  – dengan hanya enam ahli dilantik bagi 89 kerusi di dewan – menentang langkah itu.

“Bagi sebuah kerajaan yang mendakwa mempertahankan demokrasi dan kepentingan awam, adalah tidak patut untuk memperkenalkan rang undang-undang sebegitu,” kata salah seorang AP parti, Low Thia Khiang.

“Ianya kelihatan seperti tindakan sebuah kerajaan diktator yang akan menggunakan apa jua cara untuk mengekalkan kuasanya.”

Asia Internet Coalition, sebuah persatuan industri yang dianggotai termasuklah Facebook, Google dan Twitter telah menjelaskan undang-undang itu sebagai “sebuah undang-undang paling menjangkau dengan meluas setakat ini”.

Apabila bercakap di parlimen pada Selasa, Menteri Perundangan dan Hal Ehwal Dalam Negeri, K.Shanmugam berkata bahawa syarikat-syarikat teknologi tidak dipercayai untuk mengawal diri sendiri.

“Ini adalah urusan serius.  Syarikat-syarikat teknologi akan mengatakan banyak perkara untuk mencuba dan mempertahankan posisi mereka,” katanya.  “Kita harus menunjukkan kepada mereka yang kita adil, tetapi juga tegas.”

Pihak kerajaan menegaskan bahawa undang-undang ini disasarkan untuk kenyataan-kenyataan palsu, bukan pendapat, dan bahawasanya mengarahkan “pembetulan-pembetulan” untuk diletakkan bersama berita palsu merupakan bentuk respon utama dan bukannya denda atau dipenjara.

Sebarang keputusan kerajaan boleh dirayu di mahkamah – walaupun pengkritik berkata tidak ramai yang mempunyai sumber ataupun kemahuan untuk mencabar pihak berkuasa.

Pengkritik turut mengatakan bahawa pada masa kini juga, Singapura sudahpun mempunyai undang-undang tegas terhadap hasutan, fitnah dan mengganggu keharmonian kaum yang boleh juga diaplikasikan untuk mengawal laman sesawang.

Setakat ini, internet merupakan ruang yang agak bebas di Singapura dan terdapat juga beberapa laman berita alternatif tempatan yang lebih berani mengkritik pihak berkuasa berbanding akhbar-akhbar dan TV tradisional, pro-kerajaan.

Hub kewangan yang menaung seramai 5.6 juta penduduk ini antara beberapa negara yang telah meluluskan undang-undang terhadap berita palsu. – AFP.

 

Check Also

Rakaman video lelaki berdiri di tepi jalan Clarke Quay yang menghentam hud kereta sebanyak 3 kali hanya kerana enggan beri laluan kepada kereta

Apabila anda sebagai pejalan kaki sedang cuba untuk melintasi jalan ataupun ingin mendapatkan teksi, apakah …