Home / Alam Sekitar / Haiwan semakin pupus, alam sekitar berubah dengan pantas akibat kepesatan ketamadunan manusia

Haiwan semakin pupus, alam sekitar berubah dengan pantas akibat kepesatan ketamadunan manusia

Manusia telah mengubah landskap semulajadi Bumi dengan sangat dramatik sehinggakan sebanyak 1 juta tumbuhan dan spesis haiwan kini berada diambang kepupusan, mewujudkan ancaman ngeri terhadap ekosistem yang diperlukan oleh manusia serata dunia untuk meneruskan kemandirian.  Begitulah rumusan yang dikeluarkan oleh PBB pada laporan penilaian yang baru sahaja selesai.

Laporan sepanjang 1,500 mukasurat itu, yang disusun oleh ratusan pakar-pakar antarabangsa dan berdasarkan kepada ribuan kajian saintifik, merupakan pandangan paling meluas setakat ini tentang penurunan biodiversiti dari seluruh dunia serta bahaya yang terwujud terhadap ketamadunan manusia.

Sebuah rumusan tentang penemuan-penemuan ini yang telah diluluskan oleh wakil-wakil daripada negara Amerika Syarikatk serta 131 negara lain, telah dikeluarkan pada Isnin (6 Mei) di Paris.  Laporan penuh bakal diterbitkan tahun ini.

Kesimpulannya amatlah mengejutkan.  Pada kebanyakkan kawasan habitat dari savana di Afrika sehinggalah ke hutan hujan di Amerika Selatan, purata kekayaan pohon asli dan kehidupan haiwan telah menurun sekurang-kurangnya 20%, paling banyak pada abad lalu.

Dengan jumlah populasi manusia yang kini melebihi 7 bilion, aktiviti-aktiviti seperti perkebunan, pembalakan, pemburuan haram, perikanan dan perlombongan telah mengubah alam semulajadi pada kadar yang “tidak pernah berlaku dalam sejarah manusia” sebelum ini.

Pada masa yang sama, ancaman baru pula muncul: Pemanasan global yang mengalih atau mengecilkan cuaca-cuaca tempatan telah menjadi punca utama kematian haiwan liar dimana banyak haiwan mamalia, burung-burung, serangga-serangga dan pokok-pokok berevolusi untuk terus hidup.

Laporan itu bukanlah yang pertama yang menggambarkan situasi menggerikan tentang ekosistem Bumi.  Tetapi laporan ini menjelaskan lebih lanjut tentang bagaimana kesejahteraan kehidupan manusia berkait rapat dengan nasib bagi sesetengah spesis hidupan lain.

“Selama ini, manusia hanya berpendapat bahawa biodiversiti sebagai memulihara alam semulajadi untuk kepentingan sendiri sahaja,” kata Encik Robert Watson, pengerusi Platform Polisi-Sains antara Kerajaan mengenai Biodiversiti dan Perkhidmatan Ekosistem, yang telah mengadakan penilaian atas permintaan kerajaan negara-negara.  “Namun laporan ini memberi pencerahan tentang hubungan antara biodiversiti dengan alam semulajadi serta perkara-perkara seperti keselamatan makanan dan air bersih di negara-negara kaya dan miskin.”

Laporan sebelum ini oleh badan itu telah menganggarkan bahawa, di negeri-negeri Amerika, alam semulajadi menyediakan anggaran sekitar US$24 trilion (S$32.71 trilion) faedah-faedah untuk manusia setiap tahun.  Hutan hujan di Amazon menyerap kuantiti besar karbon dioksida dan memainkan peranan dalam mengurangkan pemanasan global.  Tanah lembap pula membersihkan air untuk diminum.  Terumbu karang boleh mengekalkan sektor pelancongan dan perikanan di Caribbean.  Pepohon tropika eksotik pula menjadi asas kepada kepelbagaian perubatan.

Namun memandangkan lanskap semulajadi ini semakin mengecil dan semakin kurang kepelbagaian biologi, perkhidmatan yang boleh disedikan kepada manusia juga semakin menurun.

Pengeluaran makanan untuk manusia juga semakin hari semakin banyak, namun degradasi tanah telah merosakkan produktiviti pertanian pada kadar 23% daripada keseluruhan kawasan tanah di Bumi, kata laporan baru itu.  Penurunan jumlah koloni lebah liar juga serangga-serangga lain untuk membantu pendebungaan buahan dan sayuran meletakkan pengeluaran hasil tani tahunan bernilai US$577 bilion dalam risiko tinggi kerugian.  Kemusnahan hutan-hutan bakau dan terumbu-terumbu karang di sepanjang pantai mendedahkan risiko banjir kepada sehingga 300 juta penduduk Bumi.

Penulis turut memberitahu bahawa kemusnahan alam semulajadi telah menjadi amat parah sehinggakan usaha sedikit demi sedikit untuk melindungi spesis-spesis tertentu atau menyediakan kawasan perlindungan hidupan liar tidak lagi mencukupi untuk membetulkan keadaan ini.  Sebaliknya, mereka menggesa untuk “perubahan transformasi” yang meliputi membendung pembaziran, mengurangkan kesan jejak pertanian terhadap alam sekitar dan membanteras pembalakan dan aktiviti perikanan haram.

“Menumpu kepada polisi persekitaran sahaja sudah tidak cukup,” kata Cik Sandra M. Díaz, ketua penulis bagi kajian tersebut yang juga pakar ekologi di Universiti Kebangsaan Córdoba, Argentina.  “Kita perlu mempunyai pertimbangan biodiversiti apabila membuat keputusan perdagangan dan insfratruktur, tentang cara pembentukan kesihatan dan hak manusia dalam setiap aspek membuat keputusan dari segi sosial dan ekonomi.”

Saintis-saintis telah mengkatalog hanya sebilangan kecil makhluk hidup, sekitar 1.3 juta spesis; laporan itu menganggarkan kewujudan sekitar 8 juta spesis tumbuhan dan haiwan di muka bumi, dengan sebilangan besarnya adalah serangga.  Sejak 1500, sekurang-kurangnya 680 spesis telah pupus, termasuk kura-kura gergasi Pinta dari Kepulauan Galapagos dan tupai terbang Guam.

Walaupun pakar-pakar luar memberi amaran bahawa ianya bukanlah sesuatu yang mudah untuk memberikan ramalan yang tepat, laporan itu memberi amaran tentang krisis kepupusan yang sedang berlaku, dengan kadar kepupusan telah meningkat berlipat kali ganda daripada kadar semasa 10 juta tahun lalu.

“Tindakan manusia kini mengancam kepupusan lebih banyak spesis,” laporan itu menyimpulkan dengan anggaran “sekitar 1 juta spesis kini sedang diancam kepupusan, lebih banyak lagi bakal pupus dalam masa 10 tahun, melainkan tindakan diambil.”

Jika negara-negara tidak meningkatkan usaha untuk melindungi habitat-habitat semulajadi yang berbaki sekarang ini, kita akan menjadi saksi kehilangan 40 peratus spesis amfibia, satu pertiga hidupan mamalia marin serta satu pertiga dari terumbu karang yang ada sekarang.  Menurut laporan itu lagi, lebih daripada 500,000 spesis daratan terpaksa bersaing dalam habitat yang semakin berkurangan untuk memastikan survival jangka panjang.

Lebih 50 tahun lalu, kehilangan biodiversiti global secara utamanya berpunca daripada aktiviti-aktiviti seperti pembukaan tanah-tanah untuk aktiviti cucuk tanam, pembesaran jalan dan bandar-bandar, pembalakan, pemburuan, aktiviti perikanan berlebihan, pencemaran air dan pemerdagangan spesis terancam ke serata dunia.

Di Indonesia, aktiviti penanaman kelapa sawit yang menyebabkan penghapusan hutan hujan telah memusnahkan habitat bagi spesis orangutan dan harimau Sumatera yang hampir pupus.  Di Mozambique pula, pemburu haram gading telah membunuh hampir 7,000 ekor gajah liar sekitar tahun 2009 sehingga 2011.  Argentina dan Chile pula, pengenalan kepada beaver Amerika Utara pada 1940an telah memusnahkan pokok-pokok asal (walaupun kehadirannya membantu kelangsungan spesis-spesis lain, termasuklah burung belatuk Magellanic).

Bukan itu sahaja, 75 peratus daripada jumlah tanah telah mengalami perubahan ketara akibat tangan manusia, dengan 85 peratus daripada jumlah tanah lembap di dunia telah musnah sejak kurun ke 18.

Dengan manusia terus-terusan membakar bahan api fosil untuk menghasilkan tenaga, pemanasan global dijangka menambah kepada kerosakan sedia ada.  Secara kasarnya, 5 peratus dari spesis seluruh dunia sedang diancam kepupusan akibat perubahan cuaca jika sekiranya purata suhu global meningkat sebanyak 2 darjah Celsius melebihi tahap pra-industri, laporan itu menyimpulkan.  (Suhu dunia masa kini sudahpun meningkat 1 darjah Celsius).

“Jika kita hanya menghadapi masalah berkaitan perubahan cuaca, banyak spesis masih boleh terus hidup dan menyesuaikan diri,” kata Encik Richard Pearson, pakar ekologi di Kolej Universiti London.  “Namun jika populasi kini semakin mengecil dan kehilangan kepelbagaian genetik, apabila landskap semulajadi semakin berpecah, apabila tumbuhan dan haiwan tidak boleh bergerak untuk mencari habitat baru yang sesuai, maka kita akan menghadapi sebuah ancaman yang sebenar.”

Jumlah spesis yang semakin berkurangan bukan sahaja menjadikan merobek keindahan dan warna-warni dunia, ianya juga membawa pelbagai risiko kepada manusia itu sendiri, kata laporan itu.

Pada masa kini, manusia bergantung kepada beberapa jenis haiwan dan tumbuhan untuk menghasilkan makanan.  Daripada sejumlah 6,190 baka mamalia domestik yang digunakan dalam sektor pertanian, lebih daripada 559 spesis telah pupus manakala 1,000 lagi diancam kepupusan.  Dalam ertikata lain, sistem pemakanan menjadi semakin berdaya tahan terhadap racun rumpai dan penyakit.  Maka, di masa hadapan, ianya akan menjadi lebih susah untuk membiak baka tanaman baru yang lebih teguh serta haiwan ternakan yang mampu untuk bertahan dengan cuaca panas melampau serta kemarau.

“Kebanyakkan daripada pemberian oleh alam semulajadi ini tidak dapat digantikan sepenuhnya,” kata laporan itu.  Kemusnahan biodiversiti “boleh mengurangkan secara kekal pilihan-pilihan untuk masa depan, antaranya spesis liar yang boleh didomestikkan sebagai tanaman pertanian dan digunakan untuk kemajuan genetik.”

Laporan tersebut turut mengandungi sinar harapan.  Semenjak kerajaan-kerajaan telah bertindak secara tegas untuk melindungi haiwan terancam seperti oryx Arab atau burung murai Seychelles, mereka telah berjaya menghalang banyak kes kepupusan.  Negara-negara telah melindungi lebih daripada 15 peratus tanah dunia dan 7 peratus kawasan laut dengan mengadakan kawasan perlindungan haiwan liar dan hutan simpan.

Namun begitu, hanya sebahagian kecil sahaja daripada kawasan terpenting biodiversiti yang berjaya dilindungi, dan banyak hutan simpan tidak melaksanakan penguatkuasaan larangan dengan tegas terhadap pemburuan haram, pembalakan dan perikanan haram.  Perubahan cuaca juga boleh menjejaskan pelarian haiwan liar sedia ada dengan mengubah kepelbagaian spesis mengikut geografi yang hidup bersama.

Maka, selain daripada menyokong perkembangan kawasan perlindungan, penulis-penulis turut menggariskan pelbagai cara perubahan yang mensasarkan untuk menghadkan kehilangan biodiversiti.

Petani dan peladang boleh menggunapakai teknik baru dalam menanam lebih pokok pada keluasan tanah yang lebih terhad.  Pengguna-pengguna dari negara-negara kaya mesti kurangkan pembaziran makanan dan menjadi lebih efisien dalam menggunakan sumber semulajadi.  Kerajaan-kerajaan dari seluruh dunia mesti menguatkan dan menguatkuasakan undang-undang persekitaran, membanteras pembalakan haram dan perikanan haram serta mengurangkan pembuangan logam berat dan sisa air tidak dirawat ke alam sekitar.

Penulis juga memberitahu bahawa usaha-usaha untuk mengurangkan pemanasan global akan menjadi kritikal, walaupun mereka ada memberi amaran bahawa pembangunan bahan api bio untuk mengurangkan pencemaran mungkin boleh merosakkan biodiversiti yang sekaligus memusnahkan hutan.

Tiada satu pun dari perkara ini adalah mudah, lebih-lebih lagi apabila semakin banyak negara-negara membangun yang menghadapi tekanan untuk mengeksploitasi sumber-sumber semulajadi mereka dalam usaha untuk mengeluarkan negara daripada kemiskinan.

Para saintis yang berdiri di belakang penilaian ini berharap dapat membantu kerajaan-kerajaan untuk membuat imbangan lebih berhati-hati diantara pembangunan ekonomi serta pemuliharaan dengan memperincikan kelebihan-kelebihan yang boleh diberi oleh alam semulajadi kepada manusia serta mencuba untuk memberi jumlah kerugian apabila biodiversiti menjunam.

“Anda tidak boleh berkata kepada pemimpin-pemimpin di Afrika bahawa tidak boleh ada sebarang pembangunan dan kita harus menukar seluruh benua ini kepada taman negara,” kata Cik Emma Archer, yang mengetuai penilaian awal badan itu tentang biodiversiti di Afrika.  “Tetapi kita boleh tunjukkan imbangan, yang mana jika kamu tidak mengambil kira nilai pemberian alam semulajadi, maka sesungguhnya kesejahteraan manusia juga akan terjejas.”

Dalam masa dua tahun akan datang, para diplomat dari seluruh dunia akan berkumpul untuk beberapa mesyuarat di bawah Konvensyen Diversiti Biologikal, sebuah ancaman dunia, untuk membincangkan bagaimana mereka boleh meningkatkan usaha-usaha pemuliharaan.  Walaupun begitu, senario paling optimistic dalam laporan baru juga mengatakan bahawa, sehingga 2050, negara-negara dunia hanya mampu memperlahankan pengurangan biodiversity – bukan menghentikannya.

“Pada masa ini,” kata Encik Jake Rice, saintis perikanan yang mengetuai laporan awal biodiversiti di Amerika, “pilihan-pilihan kita hanyalah tentang mengawal kerosakan.”

 

Sumber: THE NEW YORK TIMES

Check Also

Perokok disaman S$200 kerana sebelah kakinya berada di luar petak khas merokok di Orchard Road

Ahad (7 April), seorang lelaki mendakwa dia telah dikenakan saman sebanyak S$200 walaupun merokok di …