Home / Alam Sekitar / Netizen langsung tidak kagum dengan taman diatas bumbung bas awam di Singapura
Sumber foto: Majlis Bangunan Hijau Singapura/Facebook

Netizen langsung tidak kagum dengan taman diatas bumbung bas awam di Singapura

Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mengkaji kemungkinan penjimatan tenaga dan kos oleh pengusaha-pengusaha bas, 10 buah bas SBS Transit akan kelihatan di jalanraya membawa taman-taman mini yang diletakkan dibumbung bas tersebut selama sekurang-kurangnya tiga bulan lagi.

Turut dikenali sebagai bas beratap hijau pertama seumpamanya di Asia, konsep “Taman Bergerak” yang dicetuskan oleh pakar kehijauan bandar GWS Living Art telah dilancarkan pada Ahad (5 Mei) di Lakeside Garden.  Laluan untuk bas-bas ini termasuklah satu jalan melalui Central Business District dan satu lagi melalui Orchard Road.  Tambang yang dikenakan adalah sama seperti bas biasa yang lain.

Dalam kenyataan media bersama yang dikeluarkan oleh GWS Living Art, Moove Media, Lembaga Taman Negara (NParks), Majlis Bangunan Hijau Singapura (SGBC) dan Yayasan Temasek, ianya menyatakan bahawa bas-bas tersebut dilengkapi dengan sistem atap tanpa tanah dimana tumbuhan-tumbuhan itu ditanam pada pelapik ringan yang dipanggil Gaiamat – selalunya digunakan pada taman-taman di bangunan pencakar langit bagi menggantikan tanah biasa.

Setiap bas awam ini dipasang dua tampalan tanaman di bumbung, dan pokok-pokok itu akan membesar pada satu lapisan yang terdiri daripada serat organik semulajadi yang telah dijalin bersama, yang dilihat sebagai pengganti tanah.  Dibawahnya terdapat satu lapisan bulu memerangkap air yang berfungsi dengan menyerap air dan hujan.

Oleh itu, ianya adalah lebih bersih, lebih mudah untuk diselenggara serta lebih menjimatkan berbanding sistem atap hijau konvensional yang lain yang menggunakan bahan utama tanah sebagai asasnya, dedah kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menambah bahawa tujuan kajian itu dilakukan adalah untuk mengenalpasti samada bumbung hijau boleh menurunkan suhu di dalam bas sekaligus menjimatkan penggunaan bahan api yang digunakan untuk penghawa dingin.

Menurut kepada kajian itu, kehijauan melindungi permukaan bas daripada cahaya terik matahari, menurunkan suhu luaran yang akan menjadikan penurunan suhu bahagian dalaman juga.  Ini akan membawa kepada penggunaan penghawa dingin lebih efisien sekaligus mengurangkan penggunaan bahan api.

Bagi mengira perubahan pada takat suhu, sebuah sensor haba akan diletakkan dibawah tanaman serta bahagian bawah bumbung.  Selain daripada itu, pelapik dan sensor haba akan diperiksa sekali setiap minggu.

“Ini adalah inisiatif kreatif yang melanjutkan lagi usaha Singapura untuk mendukung kehijauan, yang benar-benar merangkumi visi sebuah Bandar biophilik dalam taman.  Kami berharap inisiatif ini akan menggalakkan lebih banyak penerokaan inovasi-inovasi lain seumpamanya untuk menghijaukan Singapura,” kata Oh Cheow Sheng, Pengarah kumpulan NParks.

Dr Tan Chun Liang daripada Universiti Kebangsaan Singapura, yang juga penasihat kepada kajian itu berkata bahawa suhu luaran sesebuah bangunan yang mempunyai bumbung hijau boleh diturunkan sehingga 20 ke 30 darjah celsius.

“Sebuah bumbung konkrit yang terdedah kepada pancaran matahari menjadi panas sehingga 60 darjah celsius pada tengahari yang terik.  Kami ingin melihat jika kenderaan boleh mengalami penurunan suhu menggunakan cara yang sama seperti di bangunan,” katanya.

Dr Tan turut menambah bahawa bumbung hijau boleh meningkatkan keselesaan termal di luar rumah.  Oleh itu, katanya, “Ianya serupa seperti mempunyai kebun bunga – anda akan merasa lebih nyaman diluar rumah.  Secara keseluruhannya, jika kita mempunyai kenderaan dengan bumbung hijau secukupnya, kita boleh mengurangkan suhu dan meningkatkan keselesaan termal.”

Selepas membaca berita ini diatas talian, ramai netizen tidak merasa kagum dengan inisiatif ini lalu menyatakan ulasan mereka di laman Facebook Mothership, Channel News Asia dan Yahoo Singapura.  Ramai yang merasakan idea ini tidak masuk akal dan hanya akan menjadi tempat pembiakan nyamuk serta serangga lain.  Bukan itu sahaja, beberapa individu mengulas bahawa sumber kewangan yang digunakan untuk taman atas bumbung bas ini lebih baik disalurkan untuk kegunaan perkara lain antaranya memastikan kelancaran perjalanan operasi bas setiap hari.

Selain daripada itu, ada beberapa netizen mencadangkan pemasangan panel-panel solar atau pandu bas hybrid/elektrik sebagai pilihan lebih baik untuk mengurangkan suhu luar.  Pengguna menulis bahawa jika mereka benar-benar ingin mempunyai taman atas bumbung bas, mereka sepatutnya “sekurang-kurangnya mencuba menanam tumbuhan yang boleh dimakan di kawasan tanah terhad” dan “mengubah bangunan agar mempunyai tanaman sayur-sayuran di bumbung”.

 

Laporan ini diterjemahkan daripada sebuah artikel oleh Kiara Xavier dan disiarkan di The Online Citizen pada 6 Mei 2019. 

Check Also

Buku Teks Bahasa Cina Darjah 2 menceritakan tentang mendiang LKY sebagai ‘Petani Agung’ yang membangunkan negara ini

Laman Facebook Diari Rakyat Singapura di Pulau Merlion (獅子島上: 新加坡人生活日記) telah berkongsi sebuah foto Buku …