Home / Gaya Hidup / Si penjual bertih jagung dari Pakistan gigih bina pesawat sendiri
Muhammad Fayyaz bergambar bersama pesawat kecilnya yang diletakkan di rumah kecilnya di Pakistan. Sumber foto: AFP

Si penjual bertih jagung dari Pakistan gigih bina pesawat sendiri

Enjinnya diambil dari mesin pemotong jalan, sayap adalah burlap, tayar pula dipinjam daripada beca: seorang penjual bertih jagung telah menarik perhatian Tentera Udara Pakistan kerana berjaya membina pesawat untuk dirinya sendiri.

Kisah Muhammad Fayyaz telah memikat hati ramai penduduk di negara yang mana jutaan mereka, sama sepertinya, mempunyai akses terhad kepada pendidikan dan berjuang untuk merebut peluang.

“Saya benar-benar berada atas udara.  Saya tidak dapat merasa perkara lain,” kata Fayyaz tentang penerbangan pertamanya bersama mesin yang dibina selepas belajar dengan menonton klip-klip TV dan cetakan biru secara atas talian.

Sebelum ini, Pakistan digemparkan dengan kisah-kisah tentang genius sains – terutamanya tentang seorang jurutera yang pada tahun 2012 mengatakan bahwa dia telah mencipta sebuah kereta yang boleh bergerak atas air – sebuah kisah yang akhirnya dibuktikan sebagai dongeng oleh para saintis.

Namun Fayyaz menegaskan bahawa dia berjaya terbang dan dakwaannya dipandang serius oleh tentera udara yang mana wakilnya telah melawat Fayyaz selama beberapa kali.  Mereka turut mengeluarkan sebuah sijil yang memuji hasil kerjanya, dedah Fayyaz.

Fayyaz masih menerima kunjungan tetamu yang ingin melihat hasil ciptaannya, yang sekarang ini diletakkan di halaman rumah yang mempunyai tiga bilik di sebuah kampung dekat Tabur di dalam daerah tengah Punjab.

Selalu impikan pesawat

Lelaki berusia 32 tahun itu memberitahu bahawa dia pernah mengimpikan untuk menyertai tentera udara semasa masih kecil, tetapi ayahnya meninggal dunia semasa dia masih di bangku sekolah yang memaksanya untuk berhenti sekolah semasa di Gred 8 dan mula melakukan kerja-kerja kampung untuk menyara ibunya serta lima lagi adik-adik yang masih kecil.

Semakin meningkat dewasa, minatnya terhadap penerbangan tidak pernah lupus, lalu dia membuat pertaruhan untuk sebuah impian baru dan mengorbankan semua yang dia ada untuk mencipta sebuah pesawatnya sendiri.

Pada siang hari, dia bekerja sebagai penjual bertih jagung (popcorn), sebelah malamnya pula dia bertugas sebagai pengawal keselamatan, untuk menabung sebanyak rupee yang dia mampu.

Perkara pertama yang harus diperolehi adalah maklumat – permulaannya adalah dengan menonton episod-episod rancangan Air Crash Investigation di Saluran National Geographic untuk melihat idea tentang tujahan, tekanan udara, tork, pendorongan.

Selain daripada itu, dia juga menggunakan akses internet harga murah di bandar berdekatan untuk mendapatkan maklumat tambahan, dan disitu juga Fayyaz mendakwa menjumpai cetakan biru pesawat untuk membina pesawatnya.

Dia turut menjual sebidang tanah milik keluarga dan membuat pinjaman sebanyak 50,000 rupee (US$350) daripada NGO kewangan mikro.

Melalui dana terhad itu, dia menggunakan kreativiti untuk menghasilkan bahagian-bahagian pesawatnya, antaranya membeli guni burlap secara borong dan meminta jasa baik pekerja bengkel yang selalu melihatnya mencari bahan-bahan pesawat, untuk membina kipas pesawat.

Sepanjang proses pembuatan sentiasa ada percubaan dan kesilapan.  Ada sesetengah peralatan yang perlu ditukar, rekaan yang harus diubah, pendawaian yang harus diperbetulkan.  Keluarganya juga turut risau melihat ketaksubannya.

“Saya selalu suruh dia berhenti.  Saya selalu pesan kepadanya untuk fokus kepada keluarga dan kerja, dia buat kerja gila.  Tetapi dia langsung tak menghiraukan saya,” ibunya, Mumtaz Bibi mengenang semula.

Namun Fayyaz meneruskan usahanya sehinggalah terhasilnya sebuah pesawat – kecil, rapuh, dan dicat biru terang.

‘Dimasukkan ke dalam lokap bersama penjenayah’

Pada Februari yang lalu, katanya, selepas dua tahun diejek, akhirnya dia telah bersedia. Fayyaz mendakwa, rakan-rakannya membantu dengan melapangkan sebuah jalan kecil yang digunakan sebagai landasan untuk percubaan penerbangan pertamanya pada Februari.

Pesawat itu mencapai kelajuan 120/kmj sebelum ke udara, kata saksi yang bernama Ameer Hussain yang turut mendakwa bahawa dia sama-sama mengiringi pesawat itu dengan menaiki motorsikal, kata AFP.

“Ianya antara dua ke dua setengah kaki dari tanah,” katanya.  “Ia terbang sejauh lebih kurang dua ke tiga kilometer sebelum mendarat.”

AFP walaubagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut.

Cubaan pertama itu menjadikan Fayyan lebih berani untuk mencuba buat kali kedua dihadapan seluruh penduduk kampung yang mana majoriti mengejek usahanya.  Pada 23 Mac, tarikh yang dipilih untuk demonstrasi tersebut, beratus-ratus orang berkumpul mengelilingi pesawat kecil itu, ramai juga yang membawa bendera kebangsaan Pakistan sesuai dengan Hari Pakistan yang jatuh pada tarikh yang sama.

Walaubagaimanapun, belum pun sempat Fayyaz menghidupkan enjin, pihak polis telah tiba dan menahannya bersama pesawat itu.

“Saya berasa seperti saya telah melakukan kesalahan paling teruk di dunia, seolah-olah saya individu paling jahat di Pakistan,” jelasnya sambil menambah: “Saya telah diletakkan di dalam lokap bersama-sama penjenayah.”

Mahkamah telah melepaskannya selepas membayar denda sebanyak 3,000 rupee (US$19)

Memetik laporan AFP, apabila mereka melawat balai polis berkenaan, pegawai disitu menjelaskan bahawa mereka menahan Fayyaz kerana pesawat yang dimilikinya itu mengancam keselamatan.

Menurut pegawai Zafar Iqbal, pesawat tersebut dipulangkan semula atas budi bicara.  Dia boleh menerbangkan semula pesawat itu jika dia mendapat lesen terbang atau permit.

Insiden itu menjadikan Fayyaz semakin popular di media sosial dan dia diangkat sebagai “wira” dan juga sebagai “inspirasi” kepada sesetengah netizen.

Wakil-wakil daripada Tentera Udara Pakistan telah membuat dua lawatan untuk melihat pesawat itu.  Komander pengkalan berdekatan juga memberikan sebuah sijil yang memuji “semangat dan ketangkasan” Fayyaz dalam membina sebuah mesin yang dihuraikan sebagai “pesawat asas mini”. – AFP