Home / Malaysia / Ayah mendiang Altantuya memberitahu bahawa dia pernah melihat foto anaknya bersama dua orang lelaki
Sumber foto: Mstar

Ayah mendiang Altantuya memberitahu bahawa dia pernah melihat foto anaknya bersama dua orang lelaki

Bernama memetik, Dr Shaariibuu Setev, ayah kepada mendiang Altantuya Shaariibuu yang terbunuh di Malaysia pada 2006, telah memberitahu kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam bahawa dia pernah melihat foto anak perempuannya bersama-sama dua orang lelaki, yang turut dibawa sebagai bahan bukti di mahkamah.

Shaariibuu, 69, menjadi sedikit gelisah apabila disoal bertubi-tubi oleh Peguam Persekutuan Kanan Norina Bahadun tentang foto tersebut, yang mana dikatakan telahpun diubahsuai.

Menurut laporan oleh Bernama itu memetik Shaariibuu turut menyoal tindakan peguam itu apabila dia sering ditanya berkenaan gambar tersebut, dan mengatakan bahawa dia pernah melihat gambar itu sekali sahaja.

“Kamu semua tanya saya soalan yang sama.  Apakata kamu hubungi individu-individu yang berada dalam gambar itu dan tanya mereka,” katanya apabila ditanya oleh Norina yang mewakili Kerajaan Malaysia.

Shariibuu yang merupakan profesor sambilan di Universiti Kebangsaan Mongolia, bersama keluarganya telah memfailkan saman sebanyak RM100 juta terhadap Kerajaan Malaysia, dua orang bekas polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, serta penganalisis pertahanan Abdul Razak Baginda, jelas Bernama.

Sebelum itu, Norina mencadangkan kepada Shaariibuu bahawa Altantuya tidak pernah menunjukkan gambar tersebut kepadanya.

Menurut Bernama, Shaariibuu tidak bersetuju apabila Norina menyatakan bahawa gambar itu sebenarnya tidak wujud.

Dia berkata Altantuya pernah menunjukkan gambar tersebut kepadanya semasa mendiang melawatnya di pejabat yang terletak di Universiti Kebangsaan Mongolia.  Mendiang mengeluarkan gambar berukuran 8 x 12 sentimeter daripada beg tangannya.

Dia memberitahu kepada mahkamah bahawa selepas daripada itu, dia tidak lagi menemui gambar asal foto tersebut.

Apabila ditanya oleh peguam bela, Ramkarpal Singh, berkenaan tujuan Altantuya datang ke Malaysia, Shaariibuu mengatakan bahawa anak perempuannya hanya menunjukkannya gambar tersebut.

“Saya hanya melihat gambar itu sekali sahaja.  Andainya saya tahu kepentingan gambar itu, saya sudah pasti menyimpan gambar itu.  Terlalu banyak fakta dan bukan gambar itu sahaja,” tambahnya.

Bagi soalan yang diajukan oleh peguam bela kepada Abdul Razak Baginda, Manjeet Singh Dhillon, Shaariibuu memberitahu bahawa Polis Diraja Malaysia tidak menunjukkan gambar itu apabila dia bercakap dengan mereka.

Dia menjelaskan bahawa dia cuma melihat gambar itu sekali sahaja semasa ditunjukkan oleh Altantuya namun dia tidak dapat mengingatinya sepenuhnya.

Shaariibuu turut memberitahu kepada Mahkamah Tinggi bahawa pihak polis tidak memaklumkan kepadanya tentang siapa yang didakwa telah mengubahsuai gambar trio tersebut.

Shaariibuu dan isteri Altantsetseg Sanjaa bersama dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga telah memfailkan saman berjumlah RM100 juta pada 4 Jun 2007.

Walaubagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga telah dikeluarkan sebagai plaintiff selepas kematiannya dua tahun lalu.

Dalam kenyataan tuntutan tersebut, keluarga tersebut mendakwa bahawa kematian Altantuya telah menyebabkan kejutan mental dan trauma psikologi, yang melayakkan mereka diberi pampasan sebagai ganti rugi teladan dan kesusahan.

Perbicaraan dihadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera bersambung Isnin depan.

 

Check Also

Pihak Polis Diraja Malaysia terus menerima laporan daripada penduduk Pengerang berkenaan letupan di pusat pembangunan petrokimia RAPID

Sebanyak 84 buah laporan diterima oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada penduduk Pengerang di …