Home / Pendidikan / Sebuah sekolah di Sydney menghentikan penggunaan Ipad untuk pembelajaran kerana “terlalu banyak gangguan”, kembali ke buku teks
Sekolah Reddam House menghentikan penggunaan buku teks digital dan beralih kepada cetakan kertas. Sumber foto : The Sydney Morning Herald

Sebuah sekolah di Sydney menghentikan penggunaan Ipad untuk pembelajaran kerana “terlalu banyak gangguan”, kembali ke buku teks

Sesuai dengan perkembangan pesat teknologi, semakin banyak institusi pendidikan berevolusi kepada teknik pembelajaran baru yang dikatakan lebih efisien untuk pelajar dan juga tenaga pengajar.  Penggunaan Ipad sebagai menggantikan buku teks sangat disambut baik kerana lebih kompak, ringan serta canggih.

Namun begitu, sebuah sekolah di Sydney merasakan sudah tiba masanya untuk mengembalikan era penggunaan buku teks dikalangan para pelajar kerana Ipad dikatakan memberi “terlalu banyak gangguan”.

Memetik daripada The Sydney Morning Herald (SMH), para pelajar lebih suka melihat kertas daripada skrin.

“Sejak lima tahun yang lalu, sekolah rendah dan sekolah menengah Reddam House telah menggunakan buku teks elektronik pada Ipad.  Namun, maklum balas berterusan yang diterima daripada para pelajar memberitahu bahawa, mereka lebih suka menggunakan buku teks kertas.” petik SMH.

Bagi guru pula, mereka mendapati bahawa Ipad sangat mengganggu dan tidak menyumbang kepada kemahiran teknologi pelajar-pelajar.  Oleh itu, pihak sekolah mengumumkan bahawa para pelajar tidak lagi akan menggunakan buku teks digital dan akan mengubah kepada penggunaan buku teks biasa.

“Kami tidak menghapuskan sepenuhnya penggunaan buku teks biasa,” kata pengetua Dave Pitcairn.  “Kami masih simpan buku teks untuk pelajar tahun 11 dan 12.  Apabila mereka [pelajar] memasuki tahun 11, dan kini boleh membandingkan antara digital dan salinan kertas, mereka memilih salinan kertas.

SMH memetik pengetua Pitcairn sebagai berkata, “Navigasi adalah lebih mudah pada buku teks biasa.  Saya percaya mereka boleh belajar lebih baik apabila semakin banyak kebolehan digunakan, semakin banyak deria digunakan apabila membuat kajian, apabila membaca dan mengambil nota.”

Tenaga pengajar turut melaporkan bahawa Ipad selalu menghalang sesi pembelajaran. “[Pelajar] selalu mendapat bermacam notifikasi serta mesej-mesej,” kata Encik Pitcairn.  “Selain daripada itu, mereka juga sering melompat diantara skrin dengan mudah, lalu kelihatan tersangat sibuk sedangkan mereka tidaklah sibuk langsung.”

Seorang pensyarah kanan di Universiti Edith Cowan, Dr Margaret Merga berkata, hasil analisa kajian tentang perbezaan-perbezaan format buku telah mendapati bahawa pemahaman akan meningkat apabila sesuatu maklumat itu dibaca daripada kertas berbanding format digital.

Kajian mengapa golongan muda lebih suka menggunakan buku teks kertas mendapati bahawa “ianya lebih selesa pada mata, lebih mudah faham, serta apa yang dibaca boleh diingat lebih lama,” katanya.

Sebuah lagi kajian pada tahun 2017 dari Universiti Maryland, apabila pelajar ditanya berkenaan tema asas sesuatu teks, mendapati bahawa, walaupun tidak banyak perbezaan, namun versi cetak lebih memudahkan pelajar untuk menjawab soalan khusus.

Penulis kajian itu mencadangkan untuk menggunakan medium cetak apabila membabitkan tugasan yang memerlukan pemahaman lebih mendapat, ataupun apabila pelajar dari peringkat rendah, menengah ataupun tinggi – diperlukan untuk membaca lebih daripada satu muka surat atau 500 patah perkataan.

Sekolah swasta Reddam House yang terletak di pinggir bandar timur ini sering berada dalam senarai sepuluh terbaik bagi Sijil Menengah Atas (Higher Secondary Certificate).

Check Also

Kecemerlangan dalam pengajian menjanjikan pekerjaan yang bagus, ujar PM. Mengapa Menteri Pendidikan berkata sebaliknya?

Untuk memastikan para pelajar di Singapura mendapat pekerjaan yang baik setelah tamat pengajian, mereka haruslah …