Home / Isu Semasa / Polis menyiasat lelaki berusia 19 tahun atas kesalahan pecah masuk dan mengambil gambar lelaki lain dalam bilik air di dewan NTU
Kediaman Dewan 3. Sumber: Facebook

Polis menyiasat lelaki berusia 19 tahun atas kesalahan pecah masuk dan mengambil gambar lelaki lain dalam bilik air di dewan NTU

Satu lagi insiden yang melibatkan aktiviti voyeurism di dewan kediaman universiti berlaku lagi apabila seorang lelaki dalam usia 19 tahun telah disiasat kerana didakwa mengambil gambar seorang lelaki lain yang sedang mandi di dalam tandas di dewan kediaman Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pada Ahad (21 April) lepas.

Polis memberitahu kepada The Straits Times (ST) bahawa mereka menerima panggilan daripada 999 yang meminta bantuan berkaitan insiden tersebut pada sekitar jam 1.11 petang, Ahad lalu.

ST melaporkan bahawa kejadian itu berlaku di Dewan 3.  Jurucakap universiti itu memberitahu kepada ST bahawa suspek yang ditangkap “bukanlah seorang pelajar dan bukan juga kakitangan NTU”.

Lelaki muda yang berumur 19 tahun itu telah disiasat atas kesalahan pecah masuk di bawah Seksyen 447, Bab 224 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, beberapa lagi dewan kediaman di NTU telah mengeluarkan notis yang memberitahu kepada penginap-penginap di situ bahawa mereka kini hanya boleh memasuki tandas lelaki dengan menggunakan kunci fob atau kunci eletronik mereka sahaja.

Presiden Dewan 16, Wilson Toh memberitahu kepada ST bahawa walaupun langkah itu disifatkan sebagai satu “satu inisiatif yang bagus”, beliau masih ragu-ragu samada ianya boleh menjadi penghalang yang kukuh untuk menghalang kejadian pecah masuk.

“Orang ramai masih boleh memasuki tandas tidak kira samada akses menggunakan fob diperlukan jika sekiranya mereka boleh memasuki dewan itu.

“Akhirnya, kita cuma boleh tahu yang pelaku itu masuk menggunakan fob.  Tetapi kita tidak ada rekod yang boleh menunjukkan identiti orang yang masuk ke tandas itu,” tambahnya.

Oleh itu, Encik Toh mencadangkan agar dipasang kamera keselamatan di sepanjang koridor menghala ke tandas.

Sementara itu, TODAY melaporkan bahawa NTU telah mengumumkan melalui surat khabar elektronik kepada para pelajarnya pada Rabu (24 April), bahawa institusi itu akan memperkenalkan modul anti-gangguan yang boleh didapati secara atas talian untuk semua pelajar baru dan pelajar penganjur untuk program-program orientasi pada Julai tahun ini.

Pasukan Kehidupan Pelajar Di Universiti – ketua-ketua, pengarah-pengarah sekolah dan registrar – memberitahu TODAY bahawa modul itu akan dilengkapkan dengan maklumat-maklumat tentang tindakan yang boleh diklasifikasikan sebagai gangguan, termasuk cara untuk menangani kes-kes yang melibatkan gangguan.  Selain daripada itu, ianya juga akan menyediakan bantuan dan sokongan untuk mangsa yang memerlukan.

“Polisi anti-gangguan dan kod tatacara pelajar dengan jelas menyatakan bahawa gangguan adalah tidak boleh diterima sama sekali,” kata Pasukan itu sambil menambah: “Keutamaan universiti adalah sebuah persekitaran yang selamat untuk para pelajar kami”.

Laporan ini diterjemahkan daripada sebuah artikel berbahasa Inggeris yang ditulis oleh Danisha Hakeem dan disiarkan di The Online Citizen pada 25 April 2019.

Check Also

Netizen langsung tidak kagum dengan taman diatas bumbung bas awam di Singapura

Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mengkaji kemungkinan penjimatan tenaga dan kos oleh pengusaha-pengusaha bas, 10 …