Home / Isu Semasa / NTU, SMU akan melaksanakan perubahan dalam menangani isu gangguan seksual di kampus
Pemandangan kampus di Universiti Teknologi Nanyang di Singapura. NTU merupakan salah satu daripada dua universiti awam terbesar di Singapura. Imej oleh Shutterstock.

NTU, SMU akan melaksanakan perubahan dalam menangani isu gangguan seksual di kampus

Berikutan gelombang kritikan terhadap Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) atas caranya menangani kes gangguan seksual yang melibatkan dua daripada pelajar sarjana muda di institusi tersebut, dua universiti – Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan Universiti Pengurusan Singapura (SMU) akan memperkenalkan langkah baru untuk memerangi gangguan seksual yang biasa terjadi di kampus.

TODAY melaporkan bahawa NTU telah mengumumkan melalui surat khabar elektronik kepada para pelajarnya pada Rabu (24 April) , bahawa institusi itu akan memperkenalkan modul anti-gangguan yang boleh didapati secara atas talian untuk semua pelajar baru dan pelajar penganjur untuk program-program orientasi pada Julai tahun ini.

Pasukan Kehidupan Pelajar Di Universiti – ketua-ketua, pengarah-pengarah sekolah dan registrar – memberitahu TODAY bahawa modul itu akan dilengkapkan dengan maklumat-maklumat tentang tindakan yang boleh diklasifikasikan sebagai gangguan, termasuk cara untuk menangani kes-kes yang melibatkan gangguan.  Selain daripada itu, ianya juga akan menyediakan bantuan dan sokongan untuk mangsa yang memerlukan.

“Polisi anti-gangguan dan kod tatacara pelajar dengan jelas menyatakan bahawa gangguan adalah tidak boleh diterima sama sekali,” kata Pasukan itu sambil menambah: “Keutamaan universiti adalah sebuah persekitaran yang selamat untuk para pelajar kami”.

Presiden Universiti Pengurusan Singapura (SMU) Profesor Lily Kong memberitahu kepada para pelajarnya melalui emel bahawa, pihak Universiti sedang menyemak semula rangka kerja disiplin yang berkaitan dengan kesalahan seksual, yang akan “mempertimbangkan amalan terbaik antarabangsa” dan maklum balas daripada pemegang berkepentingan institut ini.

Keputusan bagi penilaian semula itu akan dikeluarkan kepada para pelajar tidak lama lagi, tambahnya.

“SMU tidak akan memberikan toleransi kepada apa jua bentuk kesalahan seksual.  Setiap aduan berkenaan kesalahan seksual akan disiasat dengan cara yang adil dan objektif,” kata Prof Kong.

Emelnya turut mengandungi saluran-saluran untuk para pelajar membuat laporan insiden gangguan seksual, selain daripada mekanisme bantuan kepada mangsa-mangsa antaranya sesi kaunseling dan bantuan pengurusan dalam bentuk “perubahan jadual kelas” untuk pelajar-pelajar yang terjejas akibat gangguan, petik TODAY.

Prof Kong telah dilantik pada Isnin (22 April) sebagai salah seorang ahli jawatankuasa penilaian semula NUS bagi kesalahan seksual.

Laporan ini diterjemahkan daripada sebuah artikel berbahasa Inggeris yang ditulis oleh Danisha Hakeem dan disiarkan di The Online Citizen pada 25 April 2019.

Check Also

Buku Teks Bahasa Cina Darjah 2 menceritakan tentang mendiang LKY sebagai ‘Petani Agung’ yang membangunkan negara ini

Laman Facebook Diari Rakyat Singapura di Pulau Merlion (獅子島上: 新加坡人生活日記) telah berkongsi sebuah foto Buku …