Home / Berita Ehwal Semasa / Rang undang-undang “berita palsu” Singapura dijangka berkuatkuasa dalam jangka masa separuh kedua tahun 2019
Menteri Komunikasi dan Maklumat S. Iswaran bercakap dalam sebuah temu ramah bersama Bloomberg Television pada hari Isnin (15 Apr 2019). Sumber: Bloomberg

Rang undang-undang “berita palsu” Singapura dijangka berkuatkuasa dalam jangka masa separuh kedua tahun 2019

Rang Undang-Undang Perlindungan dari Kepalsuan dan Manipulasi Atas Talian (Protection from Online Falsehoods and Manipulation Bill), yang diperkenalkan di Parlimen untuk Bacaan Pertama pada awal bulan ini, dijangka berkuatkuasa dalam tempoh separuh kedua tahun 2019, menurut Menteri Komunikasi dan Maklumat S. Iswaran.

Bercakap dalam temu bual dengan Bloomberg Television pada hari Isnin (15 Apr), Encik Iswaran berkata: “Kami [pihak kerajaan] menjangkakan bahawa¬† Bacaan Kedua dan Bacaan Ketiga akan diteruskan pada bulan Mei”.

Beliau menambah bahawa “sekiranya proses ini seperti proses perundangan yang lazim dijalankan dalam merangka undang-undang, maka Rang Undang-Undang tersebut berkemungkinan akan berkuatkuasa pada separuh kedua tahun ini”.

Menjawab bantahan dari pelbagai kumpulan dan individu terhadap Akta yang akan dikuatkuasakan itu, Encik Iswaran menegaskan bahawa Rang Undang-undang itu bukan bertujuan untuk “menghalang kritikan, pendapat … bahkan sindiran atau parodi”.

“Apa yang benar-benar cuba dilakukan [oleh Rang Undang-undang ini] adalah untuk memastikan bahawa apabila kita mempunyai wacana seperti itu, ia benar-benar berdasarkan fakta […]

“Kami mahu memastikan bahawa semua warganegara di Singapura mempunyai pengetahuan yang baik dan boleh menyertai wacana seperti itu secara konstruktif,” ujar beliau lagi.

Beliau menambah bahawa Kerajaan mahu “mencari jalan yang paling sesuai untuk kita di Singapura”, iaitu menurut beliau merupakan “jalan tengah”.

“Kami mahu memastikan ucapan bebas berterusan – tidak terhalang – di Internet, dan secara amnya dalam wacana,” kata Encik Iswaran.

“Apa yang kita lihat adalah benar … bahawa ada apa yang kita panggil ‘kepalsuan’ – atau ‘fakta kenyataan palsu’, menurut istilah yang digunakan oleh peguam – dan bagaimana ia memberi kesan kepada kepentingan awam.

“Apabila kedua-dua perkara itu [kepalsuan dan kepentingan awam] datang dengan seiring … maka kami akan mengeluarkan perintah pembetulan,” katanya.

Perintah pembetulan bertujuan “memberikan akses yang lebih besar kepada fakta”, bukan untuk “menyekat maklumat”; hukuman berlandaskan undang-undang jenayah memberi tumpuan kepada “pelaku jahat” yang menyebarkan “kepalsuan” yang berkaitan dengan “kepentingan awam”

Menyentuh arahan pembetulan menerusi Bahagian 3 dalam Akta yang bakal dikuatkuasakan itu, Encik Iswaran berkata bahawa arahan tersebut bertujuan “memastikan akses kepada fakta tersedia kepada pembaca”.

“Dengan kata lain, [kami tidak ingin] menyekat [saluran] maklumat, tetapi untuk memberi akses kepada fakta,” ujar beliau, sambil menambah: “Justeru itu, pembaca boleh membuat keputusan mereka sendiri [tentang kebenaran sumber maklumat tersebut].”

Apabila ditanya mengenai bagaimana undang-undang baru itu akan dikuatkuasakan, Encik Iswaran berkata: “Saya berfikir, secara umumnya, jika anda melihat undang-undang yang diperkenalkan di seluruh dunia, terdapat beberapa hukuman yang keras … Dan sebenarnya, kita [kerajaan Singapura] telah mengurangi tahap kekerasan tersebut”.

“Hukuman berlandaskan undang-undang jenayah”, beliau menambah, “benar-benar [berpusat] kepada para pelaku yang berniat jahat, yang secara sengaja menyebarkan kepalsuan di Internet, [sedangkan mereka] mengetahui bahawa ia akan menyebabkan kemudaratan awam”.

“Jadi itu adalah ambang yang jauh lebih tinggi [untuk dicapai] daripada sudut pandangan undang-undang, dan saya fikir pada dasarnya apa yang kita cuba bentuk di sini adalah sebuah rejim tadbir urus untuk Internet, yang sehingga kini tidak ditadbir dengan cara yang memastikan ucapan dan wacana media sosial dan Internet dimaklumkan oleh kenyataan fakta,” tegas Encik Iswaran.

Menjawab kebimbangan dari pihak tertentu masyarakat Singapura mengenai tahap kuasa yang diberikan kepada para Menteri di bawah Rang Undang-undang tersebut, Encik Iswaran berkata: “Saya fikir ini adalah di mana kita mempunyai ‘checks and balances‘ dalam proses …

“Walaupun para menteri boleh mengeluarkan arahan, [namun pada akhirnya] termaktub prinsip perundangan mengenai apa yang dikatakan ‘kebenaran’ dan apa yang dikatakan ‘pendapat’ … dan semua ini ditetapkan oleh mahkamah”.

“Justeru itu, perkara ini bukan sesuatu yang boleh dilakukan oleh pihak eksekutif dalam kerajaan sewenang-wenangnya,” tegas beliau.

Kerajaan, bukan hanya syarikat teknologi, harus “juga mengambil langkah” untuk memerangi penyebaran kepalsuan dalam talian yang disengajakan

Encik Iswaran menyatakan bahawa “meskipun ada pengiktirafan global terhadap perlunya [pihak berkuasa] untuk mengambil tindakan [terhadap penyebaran kepalsuan di Internet] dan syarikat-syarikat teknologi telah mengetengahkan perkara ini”, namun kerajaan Singapura berpendapat bahawa “penting untuk pemerintah mengambil inisiatif”.

“Pada hakikatnya, syarikat teknologi telah memberi cadangan kepada kami [tentang perkara ini] juga, dan saya fikir kami tahu kedudukan mereka [tentang hal ini] secara terbuka,” katanya.

Apabila ditanya sama ada undang-undang baru itu akan menjejaskan reputasi Singapura sebagai hab fintech (teknologi kewangan) yang semakin berkembang, Encik Iswaran berkata: “Kami sentiasa jelas dengan pendirian kami bahawa ketika membincangkan wacana dan media dan sebagainya, kami mengalu-alukan perdebatan terbuka selagi mereka berlabuh fakta dan kebenaran.

“Saya fikir ia adalah sesuatu yang kami konsisten, sama ada media arus perdana atau media dalam talian [bebas], dan sebagainya,” tegasnya.

Dari segi penglibatan kerajaan Singapura dengan syarikat teknologi, Encik Iswaran berkata bahawa “nilai-nilai Singapura adalah lebih luas”.

“Ini juga mengenai peranan Singapura sebagai hab perniagaan, penglibatan Singapura dalam pelbagai jenis penyelidikan dan pembangunan serta artificial intelligence,” katanya.

“Kami terlibat dengan syarikat-syarikat berteknologi tinggi dalam pelbagai isu, dan juga mengenai perkara ini, saya fikir kita mempunyai penjajaran.

“Dalam erti kata lain, kami semua [sedang] berusaha memastikan bahawa sebarang wacana dalam talian ditegakkan oleh fakta,” kata Encik Iswaran.

Laporan ini diterjemah dari sebuah artikel berbahasa Inggeris yang ditulis oleh Danisha Hakeem dan disiarkan oleh The Online Citizen pada 16 April 2019.

Check Also

Sebuah sekolah di Sydney menghentikan penggunaan Ipad untuk pembelajaran kerana “terlalu banyak gangguan”, kembali ke buku teks

Sesuai dengan perkembangan pesat teknologi, semakin banyak institusi pendidikan berevolusi kepada teknik pembelajaran baru yang …