Home / Berita Ehwal Semasa / Insiden tangga eskalator runtuh semasa bergerak, netizen mahu semua eskalator di Tampines 1 Mall diperiksa
Kredit foto: Pembaca Shin Min Daily News

Insiden tangga eskalator runtuh semasa bergerak, netizen mahu semua eskalator di Tampines 1 Mall diperiksa

Pada Sabtu (13 April) yang lalu, pengunjung Tampines 1 Mall dikejutkan dengan insiden tangga runtuh pada sebuah eskalator yang sedang bergerak.

Semasa insiden jam 9 malam itu, empat individu sedang berada diatas eskalator yang menurun dari tingkat tiga ke tingkat dua pusat beli belah itu, lapor Shin Min Daily News.

Seorang peniaga yang kedainya berada berdekatan dengan eskalator itu memberitahu akhbar berbahasa Cina tersebut bahawa dia mendengar bunyi seakan letupan yang kuat sebelum beberapa bilah tangga di bahagian hujung eskalator itu terpatah.  Mujurlah, empat individu yang baru sahaja menaiki eskalalator itu bertindak pantas dengan menekan butang berhenti kecemasan.

Menurut The Straits Times (ST), tiada sesiapa yang tercedera akibat insiden tersebut dan ruang tersebut juga telah dilarang masuk untuk orang ramai.

Melihat kepada foto yang diberikan kepada Shin Min, ianya menunjukkan tangga-tangga dibahagian bawah eskalator itu telah rosak teruk, dengan beberapa bahagiannya dilihat bertaburan di tempat turun tingkat dua.

Kredit foto: The Straits Times

Sehingga petang Ahad (14 April), kerja-kerja membaiki masih dijalankan, manakala pihak polis dan Unit Kuasa Pertahanan Sivil Singapura memberitahu ST bahawa mereka tidak mendapat sebarang aduan kemalangan di tempat dan masa kejadian.

Pada laman Facebook ST, netizen meminta agar pusat beli belah itu ditutup untuk memberi ruang kepada pemeriksaan penuh sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku. Mereka juga mahu pemeriksaan berkala diadakan kerana “ini adalah Singapura, dan kita mesti pastikan yang setiap benda berfungsi seperti sepatutnya”.  Beberapa pengguna atas talian lain menambah bahawa insiden ini sememangnya menakutkan sehingga mereka merasa tidak berani untuk menggunakan eskalator selepas ini, sambil memberitahu bahawa semua langkah harus diambil untuk mengelakkan insiden seperti di China terjadi di Singapura.

Beberapa orang netizen turut memberitahu bahawa kualiti produk dan pengawalan kualiti produk (QC) adalah semakin menurun di Singapura.  Mereka turut menyatakan bahawa insiden seperti ini tidak pernah berlaku di negara ini sebelum ini.  Pengguna Facebook, Mel Mel berkata, dana penyelenggaraan sepatutnya digunakan di tempat yang betul dan bukannya disalurkan ke “poket individu tertentu”.

Ada juga merasakan adalah lebih baik untuk menggunakan tangga daripada eskalator untuk mengelakkan kemalangan sebegini.  Mereka berkata bahawa, eskalator dan lif haruslah tersedia untuk digunakan oleh golongan tua dan kurang upaya.

Xue Ying berpendapat bahawa rakyat Singapura harus menghentikan tabiat berjalan ke atas ataupun ke bawah semasa berada di atas eskalator kerana ianya boleh “mendatangkan lebih tekanan kepada mesin tersebut akibat dari pergerakan manusia”.  Kesannya, mesin itu akan lebih cepat haus daripada sepatutnya.

 

Diterjemahkan dari The Online Citizen.

Check Also

Dr Lee Weiling: Laporan media masih lagi mengulangi “dakwaan palsu dan menghina” oleh PM Lee terhadap Lee Hsien Yang

Anak perempuan kepada mendiang Lee Kuan Yew (LKY), Dr Lee Weiling, baru-baru ini telah berkongsi …