Home / Isu Semasa / Pihak Polis Diraja Malaysia terus menerima laporan daripada penduduk Pengerang berkenaan letupan di pusat pembangunan petrokimia RAPID

Pihak Polis Diraja Malaysia terus menerima laporan daripada penduduk Pengerang berkenaan letupan di pusat pembangunan petrokimia RAPID

Sebanyak 84 buah laporan diterima oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada penduduk Pengerang di Johor mengenai letupan dan kebakaran besar-besaran di tapak projek Pembangunan Bersepadu Petroleum dan Petrokimia (RAPID) di Kompleks Pengerang Pengerang di Kota Tinggi pada hari Jumaat (12 Apr).

Menurut Ketua Polis Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah, semua laporan tersebut dibuat di balai Sungai Rengit dan Pengerang.

Memetik laporan Bernama, pihak polis juga telah menasihati orang ramai supaya tidak cemas tentang ledakan tersebut, selain melarang orang ramai menyebarkan sebarang berita palsu mengenai kejadian itu.

“Menyebarkan berita palsu adalah sebuah kesalahan yang tertakluk di bawah Seksyen 233 (1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang membawa denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” ujar beliau.

Dalam insiden 1.20 pagi semalam (13 Apr), dua orang penduduk tempatan cedera dan 10 rumah di Kampung Lepau berhampiran Pengerang rosak akibat letupan dan kebakaran tersebut.

Pada hari yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Utiliti dan Pelaburan Antarabangsa Negeri, Jimmy Puah Wee Tse menyatakan bahawa Petronas telah bersetuju untuk membayar pampasan kepada penduduk sekiranya terdapat bukti bahawa rumah mereka rosak akibat letupan besar-besaran yang berlaku pada hari Jumaat itu.

“Kerajaan negeri akan terus berkomunikasi dengan Petronas untuk memastikan kesejahteraan penduduk berhampiran tapak projek.

“Jika perlu, kerajaan negeri akan memberi bantuan awal kepada penduduk yang terjejas … kami akan melakukannya melalui JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat),” ujarnya lagi.

Dua orang pekerja cedera ringan akibat letusan di tapak projek petrokimia di Pengerang pada hari Jumaat

Penduduk di sekitar Pengerang, Johor dikejutkan dengan bunyi letupan pada awal pagi Jumaat (12 Apr) di projek Pembangunan Integrasi Petrokimia dan Penapisan Minyak (RAPID).

Letupan itu yang berlaku pada jam 1.25 pagi itu mengakibatkan dua orang pekerja tempatan mengalami kecederaan ringan.
Kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Kecemasan Pusat Perubatan Pengerang dan dirawat sebagai pesakit luar, menurut Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah dalam satu kenyataan.

Sebanyak lima buah jentera pemadam kebakaran bersama 30 anggota dari Pasukan Tindakbalas Kecemasan (ERT) PETRONAS RAPID Pengerang telah dikerahkan ke tempat kejadian.

Mereka berjaya mengawal kebakaran dan memadamkan api hampir sejam kemudian, iaitu pada pukul 2:15 pagi, menurut Superintendan tersebut.

Beliau juga turut memuji tindakan pantas ERT dalam mengawal kejadian tersebut.

Menurut kenyataan itu, polis turut menyifatkan kejadian itu sebagai ‘kebakaran kecil’, tetapi Malay Mail melaporkan bahawa letupan itu mampu didengari dari jarak radius 50km dari projek itu.

Foto dan video insiden tersebut berlegar di media sosial. Menurut video yang tersebar, ramai yang berpendapat bahawa letupan itu disebabkan oleh kebocoran gas.

https://www.facebook.com/theonlinecitizen/videos/339590116691807/

Walau bagaimanapun, Superintendan Ahsmon memberi jaminan bahawa pihak polis akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Keselamatan, Perlindungan dan Alam Sekitar Johor, jawatankuasa pengurusan bencana negeri dan pengurusan keselamatan di PETRONAS RAPID Pengerang untuk menyiasat punca insiden tersebut.

Punca sebenar letupan masih belum dikenalpasti dan diumumkan.

Melalui satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Petronas pada hari yang sama kejadian tersebut berlaku, kebakaran itu berjaya dikawal dalam masa 30 minit.

Petronas menambah: “Keadaan ini sudah dapat dikawal dan semua pihak berkuasa berkaitan telah dimaklumkan”.

Petronas menambah bahawa maklumat tambahan akan diberikan dalam masa terdekat sebaik sahaja siasatan selesai.

Bahagian kedua laporan ini diterjemah daripada sebuah artikel berbahasa Inggeris oleh Kathleen.F yang diterbitkan di laman sesawang The Online Citizen pada 12 Apr 2019.

Check Also

Ayah mendiang Altantuya memberitahu bahawa dia pernah melihat foto anaknya bersama dua orang lelaki

Bernama memetik, Dr Shaariibuu Setev, ayah kepada mendiang Altantuya Shaariibuu yang terbunuh di Malaysia pada …