Home / Berita Ehwal Semasa / Singapura terunggul sebagai ibu kota maritim terbaik di dunia bagi tahun keempat berturut-turut
Permandangan dari udara sebuah pelabuhan kontena di Singapura yang menunjukkan timbuhan kontena dan barisan kren. Sumber: Creative Image/Shutterstock

Singapura terunggul sebagai ibu kota maritim terbaik di dunia bagi tahun keempat berturut-turut

Singapura sekali lagi berada di tangga teratas sebagai ibu kota maritim terbaik di dunia seperti yang terpapar di dalam Laporan Ibu Kota Maritim Terkemuka Di Dunia 2019 (LMC) yang dikeluarkan oleh firma perundingan Menon Economics.

Laporan tersebut yang telah dikeluarkan pada Rabu, 10 April 2019 menunjukkan bahawa Singapura telah mengungguli gelaran tersebut selama empat tahun berturut-turut dan diikuti oleh Hamburg, Rotterdam, Hong Kong, London dan Shanghai.

Laporan LMC menyenaraikan sebanyak 15 ibu kota maritim dari serata dunia dengan menilai lima aspek utama.  Singapura mengekalkan tempat pertama bagi tiga aspek – Perkapalan, Pelabuhan dan Logistik serta Tarikan dan Daya Saing.

Laporan tersebut juga memetik usaha berterusan Singapura untuk memperkukuhkan daya tarikannya sebagai pusat maritim antarabangsa yang mana turut diterima baik oleh industri.

Seramai 200 orang pakar maritim yang terlibat dengan laporan tersebut meramalkan dominasi Singapura dalam bidang ini akan berterusan namun turut menyebut tentang persaingan kuat dari ibu kota maritim lain seperti Shanghai dan Dubai dalam masa lima tahun akan datang.

Pelabuhan Singapura masih kekal sebagai antara pelabuhan paling sibuk di dunia yang sekaligus mengekalkan pertumbuhan keseluruhan bagi tahun 2018, kata Penguasa Pelabuhan Maritim dalam satu kenyataan.

Pada tahun 2018, pelabuhan ini menerima sebanyak 36.6 juta unit kontena bersaiz 20 kaki serta jumlah berat kasar mencecah 2.79 bilion tan bagi muatan kapal yang berlabuh.

Ketua Eksekutif Penguasa Pelabuhan dan Maritim Singapura, Cik Quah Ley Hoon berkata, “Apabila sekali lagi diiktiraf sebagai ibu kota maritim terkemuka yang menyediakan keseluruhan aspek sokongan dari segi insfratruktur dan kemahiran, ianya merupakan pengesahan kepada komitmen Singapura untuk membangunkan dan mengembangkan industri maritim.”

“Singapura akan terus memberikan usaha yang mendalam untuk memacu kesaling-hubungan, inovasi dan kemahiran.  Kami berterima kasih kepada rakan kongsi dan pemegang kepentingan atas sokongan berterusan yang diberikan dan berharap untuk sebuah hubungan kerja akrab bersama mereka agar dapat memupuk ekosistem yang teguh dalam industri maritim Singapura,” tambahnya.

Laporan ini diterjemahkan dari artikel yang ditulis oleh Kathleen.F dan disiarkan di The Online Citizen pada 11 April 2019.

Check Also

Buku Teks Bahasa Cina Darjah 2 menceritakan tentang mendiang LKY sebagai ‘Petani Agung’ yang membangunkan negara ini

Laman Facebook Diari Rakyat Singapura di Pulau Merlion (獅子島上: 新加坡人生活日記) telah berkongsi sebuah foto Buku …