Home / Berita Ehwal Semasa / Singapura telah membuat dua rampasan sisik tenggiling dalam minggu ini, kali ini seberat 12.7 tan dengan anggaran nilai melebihi S$50 juta
Sumber : Kastam Singapura

Singapura telah membuat dua rampasan sisik tenggiling dalam minggu ini, kali ini seberat 12.7 tan dengan anggaran nilai melebihi S$50 juta

Singapura telah merampas sebuah lagi penghantaran sisik tenggiling menjadikannya yang kedua dalam minggu ini.

Lembaga Taman Negara (NParks) memberitahu dalam sebuah kenyataan bahawa sisik tenggiling yang dibungkus di dalam 474 buah beg telah ditemui di dalam sebuah kontena yang dihantar daripada Nigeria ke Vietnam.  Kontena yang berukuran sepanjang 40 kaki itu pada awalnya diisytiharkan mengandungi ‘Biji Cassia”.

Namun sebaliknya, pihak berkuasa menemui sejumlah sisik haiwan yang diancam kepupusan ini dengan anggaran nilai sekitar S$51.6 juta.  Menurut kenyataan tersebut, sisik-sisik yang dirampas itu adalah hasil korban sebanyak 21,000 ekor tenggiling dari dua spesis.

Jika digabungkan dengan rampasan sejumlah sisik tenggiling seberat 12.9 tan yang bernilai S$52.3 juta pada lima hari yang lalu, dengan anggaran korban sebanyak 38,000 ekor – rampasan oleh Singapura kedua-duanya menjadikan jumlah melebihi S$100 juta.

Menurut kenyataan yang sama, NParks menyatakan bahawa sebelum ini juga telah terdapat dua rampasan sisik tenggiling iaitu pada tahun 2015 dan 2016 dengan jumlah rampasan sebanyak 440kg.

Kenyataan itu memberitahu bahawa NParks bersama-sama dengan Pihak Berkuasa Kastam dan Imigresen & Pemeriksaan telah mengadakan rangka kerja penilaian risiko yang mensasarkan penghantaran yang melibatkan pemerdagangan haram haiwan liar.

Sisik tenggiling sememangnya mendapat permintaan tinggi di rantau Asia sebagai salah satu bahan dalam perubatan tradisional manakala dagingnya pula dianggap sebagai hidangan istimewa di negara-negara Asia termasuk China.

Organisasi hidupan liar juga menyuarakan kebimbangan mereka berkaitan kedua-dua rampasan tersebut yang menandakan peningkatan dalam pemburuan haram tenggiling.

Neil D’Cruze, penasihat hidupan liar sedunia di Perlindungan Haiwan Sedunia mengatakan bahawa sokongan yang diberikan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia terhadap perubatan tradisional baru-baru ini telah mengembangkan pasaran haiwan eksotik sehingga ke luar China dan Vietnam.

Beliau menjelaskan bahawa tindakan ini adalah suatu perkara yang membimbangkan kepada sesetengah spesis haiwan liar kerana ianya membawa ancaman besar kepada pemuliharaan dan kebajikan haiwan.

Paul Thomson, seorang pegawai di Kumpulan Pakar Tenggiling pula berkata, walaupun pemburuan haram tenggiling semakin meningkat, angka sebenar aktiviti ini tidak dapat dipastikan.

Beliau memberitahu kepada Associated Press, “Perdagangan haram anggota badan tenggiling telah berlaku sejak berdekad lama.  Walaubagaimanapun, tenggiling sering kali terlepas pandang dalam aspek perhatian dan tindakan untuk pemuliharaan bersepadu haiwan ini.

Beliau menambah, “Perkara ini mula berubah hasil dari kesedaran tentang tenggiling yang semakin meningkat.  Kesedaran ini sebahagiannya datang daripada aktiviti pemerdagangan haram yang semakin berleluasa sekarang.”

Selain dari Singapura, pelabuhan-pelabuhan berdekatan juga dilihat telah melakukan rampasan besar produk-produk tenggiling dalam tahun ini.  Pada Februari lalu, pihak berkuasa Malaysia telah merampas sejumlah tenggiling dan produk-produk tenggiling seberat 30 tan termasuk tenggiling hidup dan yang telah dibekukan.  Pada awal bulan yang sama, Hong Kong juga telah merampas sekitar 8.3 tan sisik tenggiling.  Sekali lagi, penghantaran itu adalah berasal dari Nigeria untuk ke Vietnam.

 

Laporan ini diterjemahkan dari sebuah artikel berbahasa Inggeris yang ditulis oleh Kathleen.F dan disiarkan di laman sesawang The Online Citizen pada 11 April 2019. 

Check Also

Netizen langsung tidak kagum dengan taman diatas bumbung bas awam di Singapura

Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk mengkaji kemungkinan penjimatan tenaga dan kos oleh pengusaha-pengusaha bas, 10 …