Home / Berita Ehwal Semasa / Singapura mengatakan tidak menerima maklumat dari Malaysia berkenaan pembangunan pusat pemindahan antara kapal di Selat Johor
Kapal memasuki pelabuhan (Gambar oleh Ungureanu Catalina Oana from Shutterstock.com).

Singapura mengatakan tidak menerima maklumat dari Malaysia berkenaan pembangunan pusat pemindahan antara kapal di Selat Johor

Kerajaan Singapura tidak menerima sebarang maklumat komunikasi dari Malaysia mengenai pembangunan hub pemindahan kapal ke kapal di Selat Johor oleh KA Petra Sdn Bhd dan Hutchison Port Holdings Ltd, menurut Kementerian Luar Negeri (MFA).

Dalam sebuah kenyataan media pada hari Jumaat lepas (5 Apr), MFA memberitahu bahawa pihaknya masih mencuba untuk mendapatkan maklumat dari kerajaan Malaysia mengenai projek itu.

“Kami sedang mencari lebih banyak maklumat dari Malaysia tentang projek itu, termasuklah lokasi yang tepat, serta sebarang kemungkinan atau kesan yang akan terjadi hasil projek dua hala Malaysia dan kewajipan antarabangsa, termasuk keselamatan pelayaran di kawasan itu dan kesannya terhadap persekitaran merentasi sempadan.

“Singapura sudah membuat permintaan seperti itu dari Malaysia bagi tujuan menilai implikasinya kepada Singapura,” tambah menteri itu.

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad menjadi saksi dalam majlis menandatangani projek berkenaan pada awal minggu lepas.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media, Dr Mahathir berkata bahawa projek itu akan dijalankan di perairan Malaysia dan tidak akan menceroboh perairan Singapura.

“Projek ini sudah lama dibincangkan dahulu. Terdapat beberapa masalah apabila Singapura mengatakan kami [Malaysia] menceroboh [perairan Singapura]. Kita tidak menceroboh. Kita dalam perairan kita, dan saya percaya orang ramai mengetahui perkara ini,” kata Perdana Menteri itu.

Beliau juga menyatakan bahawa Singapura sudah diberitahu mengenai projek itu.

Projek itu dikatakan merupakan pusat pemindahan kapal-ke-kapal yang terbesar di dunia.

Projek ini menimbulkan kontroversi dalam kalangan pemimpin Johor.

Putera Mahkota Johor Tunku Ismail Idris membalas kenyataan Dr Mahathir bahawa negeri di selatan Semenanjung Malaysia itu sudah mengetahui tentang projek itu.

Putera Mahkota Johor juga berkata bahawa Perdana Menteri itu telah bertindak tidak mengikut perlembagaan mengenai projek itu.

Baginda menambah, tanah dan air merupakan hak keistimewaan negeri Johor.

Menurut media tempatan, projek mega itu dijangka akan menelan belanja di antara US$150 juta (S$203 juta) dan US$180 juta (S$243 juta).

Projek itu merangkumi kawasan seluas 1,214 hektar, iaitu tiga kali ganda lebih besar daripada saiz Pulau Sentosa, dan akan bermula dalam masa 12 bulan dari sekarang.

Projek pelabuhan itu boleh memuatkan lebih dari 30 buah kapal pada satu masa, selain memudahkan pemindahan kargo cecair seperti minyak mentah, bahan api, gas asli cecair dan produk berasaskan petroleum lain.

Projek itu juga dijangka menambah pendapatan keluaran kasar dalam negeri (Gross Domestic Product) Malaysia sebanyak RM18 bilion (S$5.9 bilion).

Pelabuhan Hutchison mengambil 30 peratus saham daripada projek itu, manakala KA Petra akan mengambil 70 peratus.

Pusat pelabuhan itu dijangka siap pada 2021.

Laporan ini diterjemah daripada sebuah artikel berbahasa Inggeris oleh Neyla Zannia yang diterbitkan di laman sesawang The Online Citizen pada 7 Apr 2019.

Check Also

Wanita makan penampar kerana tidak beri isyarat semasa membelok, lelaki berlagak samseng jalanan kini diburu polis

Kisah di Malaysia, baru-baru ini tular di Facebook tentang sebuah rakaman video yang dirakam melalui …