Home / Berita Ehwal Semasa / ILS akan digantikan dengan Sistem berasaskan GPS di Lapangan Terbang Seletar melalui kerjasama Singapura dan Malaysia

ILS akan digantikan dengan Sistem berasaskan GPS di Lapangan Terbang Seletar melalui kerjasama Singapura dan Malaysia

Sistem mendarat berasaskan GPS (Global Positioning System) bakal digunakan di Lapangan Terbang Seletar hasil kerjasama dari pihak berkuasa penerbangan awam Singapura dan Malaysia untuk membangunkan sebuah sistem baharu bagi menggantikan penggunaan Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) yang terpalit kontroversi.

Pengumuman itu dilakukan oleh Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan pada Isnin (8 April) dalam sidang media bersama dengan rakan sejawat dari Malaysia Anthony Loke yang diadakan di Kuala Lumpur International Airport (KLIA).

Dalam sidang media itu, beliau memberitahu bahawa kedua-dua Malaysia dan Singapura akan “memperkenalkan instrumen mendarat berasaskan GPS di bahagian utara meliputi kawasan udara Pasir Gudang dan di bahagian selatan yang meliputi ruang udara pulau Singapura”.

“Ini adalah kerana”, jelas beliau, “kapal terbang berlepas dan mendarat ke udara”, dan “dengan angin timur laut dan barat daya yang bertiup pada arah berbeza sepanjang tahun, kedua-dua pendekatan itu diperlukan.

Khaw turut menambah yang instrumen prosedur mendekat berasaskan GPS akan diumumkan sejurus selepas pembangunan sistem itu selesai.

“Kami harus mengadakan perbincangan, badan berkuasa dari kedua-dua pihak harus duduk dan berbincang tentangnya.  Apabila ianya selesai, kami boleh mengumumkannya. Saya secara peribadi tidak melihat ada banyak halangan,” katanya seperti yang dipetik CNA.

“Jawatankuasa peringkat tinggi” yang melibatkan wakil-wakil Kementerian Pengangkutan akan berkumpul dan melihat semula terma dan syarat LOA, Malaysia akan mengambil semula pengurusan ruang udara

Semasa sidang media Isnin lalu, Loke juga mengumumkan tentang penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi yang akan dipengerusikan oleh Setiausaha Tetap Pengangkutan Singapura dan Setiausaha Agung Pengangkutan Malaysia, yang bertujuan untuk melihat semula terma dan syarat yang terkandung dalam Surat Perjanjian (LOA) yang telah ditandatangani pada 1974.

Malay Mail melaporkan, beliau berkata bahawa ruang udara di Pasir Gudang merupakan “ruang udara berdaulat yang mana telah menjadi isu sejak sekian lama”, dan “selepas 45 tahun penyerahan ruang udara itu kepada Singapura, sekarang adalah masa yang tepat untuk kami melihat semula perjanjian tersebut”.

Sambil memetik kepakaran Malaysia dalam pengurusan ruang udara yang dikukuhkan lagi dengan pembukaan Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur di Sepang yang tidak lama lagi, Loke menambah, dengan adanya “kepakaran dan peralatan sedemikian, kami merasakan bahawa kami sudah bersedia untuk menguruskan ruang udara kami sendiri, yang mana merupakan perkara pertama dalam senarai kepentingan kami untuk menyemak semula perjanjian itu di Singapura”.

CNA memetik Khaw sebagai membalas: “Saya sudah menerangkan kepada Menteri Loke bahawa penetapan yang ada sekarang adalah diwakili oleh Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang bertindak sebagai orang tengah semasa Mesyuarat Navigasi Udara Serantau pada tahun 1973.

“Ianya telah dipersetujui oleh negara-negara serantau dan disahkan oleh lembaga ICAO,” tambahnya.

Walaubagaimanapun, Khaw memahami apabila “Menteri Loke menekankan betapa pentingnya penilaian semula itu kepada Malaysia.”

“Saya memberi jaminan bahawa Singapura akan melakukan penilaian semula itu dengan fikiran terbuka, pada masa yang sama tidak melupakan pemegang-pemegang kepentingan yang terlibat serta keperluan kritikal untuk menjaga keselamatan dan memastikan kecekapan di ruang udara yang sibuk.

“Dengan muhibah dan tolak ansur, saya pasti sebuah penyelesaian yang menguntungkan tanpa menjejaskan kepentingan kedua-dua pihak dapat dihasilkan,” katanya.

Penilaian semua itu sebelum ini dinyatakan oleh Singapura dan Malaysia dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu (6 April) yang memberitahu bahawa ““sebuah Jawatankuasa Peringkat Tinggi telah ditubuhkan untuk menyemak Surat Perjanjian Operasi antara Kuala Lumpur dan Singapura berkenaan Pusat Kawalan Kawasan Berkaitan Ketibaan, Perlepasan dan Terbang Lalu oleh Singapura 1974.”

“Kedua-dua Menteri Pengangkutan tersebut mengalu-alukan langkah positif ini dan berharap dapat terus memperkukuh kerjasama dua hala,” beritahu kenyataan tersebut.

Syarikat penerbangan tambang rendah Malaysia, Firefly, akan menyambung semula penerbangan bermula 21 April, akan beroperasi di Lapangan Terbang Seletar

Menteri Pengangkutan Malaysia juga telah mengesahkan pada sidang media tersebut bahawa Firefly Sdn. Bhd yang juga anak syarikat Malaysian Airlines Berhad akan menyambung perkhidmatan penerbangan ke Singapura bermula 21 April.

Malay Mail melaporkan bahawa, menurut Loke, Malindo juga telah menghantar permohonan kepada pihak berkuasa lapangan terbang Singapura untuk kebenaran mendarat di Seletar.

Singapura dan Malaysia mengumumkan di dalam kenyataan bersama mereka pada Sabtu lalu bahawa “Kedua-dua Menteri Pengangkutan itu menantikan perlaksanaan penerbangan masuk Firefly Sdn. Bhd. ke Lapangan Terbang Seletar berkuatkuasa pada April 2019”.

Penarikan semula penggunaan ILS daripada Lapangan Terbang Seletar oleh Republik dan penggantungan penguatkuasaan Kawasan Larangan (RA) di ruang udara Pasir Gudang oleh Malaysia juga telah diumumkan dalam kenyataan bersama tersebut.

Persetujuan itu dimeterai diantara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia bagi “meraikan kerjasama dua hala” pada Jumaat (5 April) jam 11.59 malam.

 

Laporan ini diterjemah dari sebuah artikel berbahasa Inggeris yang ditulis oleh Danisha Hakeem dan disiarkan di laman sesawang The Online Citizen pada 9 April 2019

Check Also

Buku Teks Bahasa Cina Darjah 2 menceritakan tentang mendiang LKY sebagai ‘Petani Agung’ yang membangunkan negara ini

Laman Facebook Diari Rakyat Singapura di Pulau Merlion (獅子島上: 新加坡人生活日記) telah berkongsi sebuah foto Buku …