Home / Isu Semasa / EZ-Link & Touch N’ Go bakal memperkenalkan kad dwi-matawang untuk bayaran tol di Singapura dan Malaysia pada penghujung tahun ini

EZ-Link & Touch N’ Go bakal memperkenalkan kad dwi-matawang untuk bayaran tol di Singapura dan Malaysia pada penghujung tahun ini

Menjelang hujung tahun ini, urusan pengguna lebuhraya yang kerap merantau diantara Singapura dan Malaysia bakal menjadi lebih mudah.

Pengeluar kad perjalanan tempatan Singapura EZ-Link dan Touch N’ Go dari Malaysia telah bekerjasama untuk melancarkan sebuah kad dwi-matawang yang bakal diperkenalkan pada suku keempat tahun ini.

Combi Card akan memberi kemudahan kepada pengguna untuk membayar tol dan parkir menggunakan kedua-dua nilai matawang Dolar Singapura dan Ringgit Malaysia.

Pengumuman kad rentas sempadan Combi Card tersebut adalah susulan dari kenyataan bersama oleh Perdana Menteri kedua-dua negara, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad yang memetik tentangnya pada pertemuan dua pemimpin tersebut di Putrajaya pada 9 April 2019.

Ianya juga adalah selepas upacara tandatangan memorandum persefahaman antara EZ-Link dan Touch N’ Go juga telah diadakan pada 30 Julai 2017.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua buah syarikat tersebut menjelaskan bahawa kad itu – yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara – akan mengandungi kedua-dua nilai matawang Dolar Singapura dan Ringgit Malaysia secara berasingan dalam satu kad.  Ini bermakna pengguna boleh membayar caj ERP di Singapura, tol lebuhraya di Malaysia serta bayaran parkir di kedua-dua buah negara dengan hanya satu kad.

Memandangkan kedua-dua matawang tersebut akan disimpan secara berasingan, pengguna diingatkan untuk memastikan baki kedua-dua jenis matawang terlibat di tambah nilai dengan secukupnya.  Andaikata, sebagai contoh, baki Ringgit Malaysia tidak mencukupi, pengguna tidak boleh membuat bayaran menggunakan Dolar Singapura yang ada di dalam kad.

Ketua Pegawai Eksekutif EZ-Link, Nicholas Lee berkata, “Ini akan menjadi titik penanda kepada usaha-usaha EZ-Link dalam meneruskan inovasi untuk mengubah kehidupan orang ramai seiring teknologi.”

“Sinergi antara Touch N’ Go dan EZ-Link untuk menghasilkan kad dwi-matawang rentas sempadan sudah pastinya akan menjadikan transaksi harian lebih mudah untuk pengguna warga Malaysia dan Singapura dengan pilihan bayaran yang cepat, mudah dan lebih selamat,” tambah Ketua Pegawai Eksekutif Touch N’ Go Malaysia.

Menurut kenyataan tersebut, terdapat juga rancangan untuk mempelbagaikan penggunaan kad itu termasuklah membolehkan pengguna membuat bayaran untuk membeli-belah dan menjamu selera di kedua-dua buah negara.

Setakat ini, EZ-Link telah mengeluarkan anggaran sebanyak 30 juta kad CEPAS EZ-Link di Singapura manakala Touch N’ Go pula sebanyak 23 juta kad yang aktif digunakan di Malaysia.  Kerjasama ini dijangkakan menjadi langkah besar untuk sebuah pengalaman perantauan yang lebih lancar dan memudahkan bagi penduduk kedua-dua buah negara.

 

Laporan ini diterjemahkan dari sebuah artikel berbahasa Inggeris yang ditulis oleh Kathleen.F dan disiarkan di laman sesawang The Online Citizen pada 10 April 2019.

Check Also

Buku Teks Bahasa Cina Darjah 2 menceritakan tentang mendiang LKY sebagai ‘Petani Agung’ yang membangunkan negara ini

Laman Facebook Diari Rakyat Singapura di Pulau Merlion (獅子島上: 新加坡人生活日記) telah berkongsi sebuah foto Buku …