Home / Antarabangsa / Malaysia tiada hak mengkaji semula harga air di bawah Perjanjian Air 1962: Kementerian Luar Negeri Singapura

Malaysia tiada hak mengkaji semula harga air di bawah Perjanjian Air 1962: Kementerian Luar Negeri Singapura

Singapura sentiasa teguh dengan pendirian bahawa Malaysia telah terlepas hak untuk mengkaji semula harga air di bawah Perjanjian Air 1962 (62WA).

Perkara ini ditekankan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Singapura (Ministry of Foreign Affairs atau MFA) semasa menjawab soalan media pada Rabu (13 Mac) tentang sama ada benar bahawa tiada kajian semula harga berlaku dalam pertikaian diantara dua buah negara tersebut.

Kementerian itu mengatakan bahawa semasa mesyuarat diantara Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada 12 Nov tahun lepas, kedua-dua pihak meluahkan pandangan berbeza masing-masing terhadap hak untuk mengkaji semula harga air di bawah 62WA.

Para pegawai dari kedua-dua buah negara juga sudi berbincang dengan lebih mendalam untuk memahami dengan lebih baik kedudukan setiap pihak keatas hak untuk mengkaji semula harga air di bawah 62WA, katanya.

Peguam Negara Singapura dan Malaysia juga mengadakan pertemuan pada bulan Dis 2018 untuk tujuan tersebut.

Walau bagaimanapun, perbincangan mereka tidak mencapai kata putus, memandangkan pada waktu itu mereka dibayangi dengan isu-isu yang timbul daripada kes had batasan Pelabuhan Johor Bahru dan Seletar Instrument Landing System (ILS).

Tiada persetujuan yang telah dicapai antara kedua-dua Peguam Negara berkenaan 62WA semasa mesyuarat mereka, kata pihak MFA.

Sehubungan itu, Peguam Negara dari kedua-dua negara akan  bertemu semula untuk menyambung perbincangan mereka.

MFA juga menyentuh kenyataan Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah di Parlimen pada 12 Mac yang mengatakan bahawa “jika mereka (Singapura) tidak mahu berunding, kita (Malaysia) patut membawa perkara ini ke perundangan antarabangsa”.

“Perdana Menteri Mahathir juga telah memberitahu pada 3 Mac bahawa Singapura tidak mahu ke muka pengadilan antarabangsa atas anggapan mereka bahawa Singapura akan kalah,” tulis Kementerian itu.

MFA kemudiannya menegaskan bahawa Singapura sentiasa bersedia untuk menyelesaikan pertelingkahan tentang 62WA melalui pihak antarabangsa ketiga atas syarat-syarat yang mendapat persetujuan bersama kedua-dua negara.

Kementerian tersebut juga berkata bahawa sejak 2003, Menteri Luar Singapura pada masa itu, S Jayakumar, mengatakan bahawa Singapura telah bersedia untuk bersetuju untuk merujuk perkara ini ke majlis timbang tara antarabangsa di Mahkamah Tetap Timbang Tara dengan niat untuk menyelesaikan pertikaian ini.

Pada 13 Mac di Parlimen Malaysia, Dato’ Saifuddin menyentuh tentang kenyataan Menteri Luar Singapura Vivian Balakrishnan terhadap Malaysia, berkenaan Perjanjian Bekalan Air dua hala baru-baru ini, dengan memanggil kenyataan Dr Balakrishnan “melulu”.

Latar belakang Perjanjian Air 1962

Memetik dari Lembaga Perpustakaan Kebangsaan Singapura, Perjanjian Air Sungai Johor yang ditandatangani pada 29 Sep 1962 di antara Majlis Bandaraya Singapura dan Kerajaan Negeri Johor.

Perjanjian tersebut sah selama 99 tahun dan akan luput pada tahun 2061.

62WA terjamin sewaktu Perjanjian Kemerdekaan Singapura (juga dikenali sebagai Perjanjian Pemisahan) termeterai di antara Kerajaan Singapura dan Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Selepas Singapura dan Malaysia berhenti menggunakan jenis mata wang yang sama pada 1973, harganya telah didenominasikan kepada Ringgit Malaysia.

62WA memberikan Singapura hak untuk mengambil sebanyak 250 juta gelen air setiap hari (1.14 juta meter padu) daripada Sungai Johor. Sebagai balasan, Johor berhak mendapat bekalan air bersih dari Singapura setiap hari sebanyak sehingga dua peratus dari jumlah air mentah yang dibekalkan.

Singapura juga harus membayar sewa untuk tanah yang digunakan “pada kadar standard sama dengan lot bangunan di tanah bandar”. Harga air kekal sama seperti dalam perjanjian sebelumnya – 3 sen bagi setiap 1,000 gelen untuk air mentah yang dibekalkan ke Singapura dan 50 sen setiap 1,000 gelen air bersih yang dijual kepada Johor.

Perjanjian pada tahun 1961 dan 1962 membenarkan kajian semula harga selepas 25 tahun, dan kedua-dua pihak bersetuju untuk merujuk kepada majlis timbang tara jika rundingan gagal.

Walau bagaimanapun, kerajaan Johor dilaporkan telah memilih untuk tidak mengkaji semula harga ketika mendapat peluang, iaitu pada 1986 dan 1987.

Check Also

Haiwan semakin pupus, alam sekitar berubah dengan pantas akibat kepesatan ketamadunan manusia

Manusia telah mengubah landskap semulajadi Bumi dengan sangat dramatik sehinggakan sebanyak 1 juta tumbuhan dan …