Home / Isu Semasa / CAAS turut serta menghalang penerbangan keluar masuk Boeing 737 MAX di Singapura

CAAS turut serta menghalang penerbangan keluar masuk Boeing 737 MAX di Singapura

Susulan kejadian pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Lion Air dari Indonesia yang terhempas pada Okt tahun lalu dan kejadian pesawat model sama milik syarikat penerbangan Ethiopia yang terhempas pada Ahad lalu (10 Mac), semakin banyak negara dan syarikat penerbangan telah membuat keputusan untuk mengharamkan penerbangan pesawat Boeing 737 MAX 8 mereka.

Kedua-dua pesawat dilihat telah terhempas atas sebab yang sama, menghantui syarikat penerbangan dan penumpang.  Senarai negara-negara yang mengharamkan penerbangan pesawat itu semakin bertambah.

Pada Isnin (11 Mac), China telah mengarahkan semua syarikat penerbangan domestiknya untuk menggantung semua operasi komersil pesawat Boeing 737 MAX 8 atas faktor-faktor keselamatan.

Pengurusan Penerbangan Sivil Negara Cina memberitahu, sambungan semula operasi pesawat tersebut hanya akan dilakukan selepas pihak berkenaan dapat “mengesahkan semua langkah-langkah relevan yang efektif untuk memastikan keselamatan penerbangan”.

Di Indonesia pula, pihak berkuasa telah mengharamkan penerbangan 11 pesawat jenis 737 MAX 8 susulan tragedi pesawat Lion Air tersebut.

Kesemua pesawat model tersebut akan kekal berada di darat sehingga disahkan selamat bagi tujuan penerbangan oleh penyelia keselamatan, ujar Ketua Pengarah Pengangkutan Udara Indonesia kepada pihak media.

10 pesawat MAX 8 di Indonesia digunakan oleh Lion Air, manakala bakinya diterbangkan oleh Garuda Indonesia.

Kementerian Pengangkutan di Korea Selatan memberitahu bahawa kedua-dua Boeing 737 MAX 8 yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang rendah, Eastar Jet, akan dikekalkan di darat sementara menunggu pemeriksaan.

Penguasa Penerbangan Sivil di Mongolia mengumumkan di Facebook bahawa ia telah mengarahkan syarikat pengangkutan MIAT Mongolia untuk memberhentikan operasi satu-satunya pesawat Boeing 737 MAX 8 yang ada dalam koleksi pesawat syarikat tersebut.

Syarikat penerbangan Ethiopian Airlines berkata pada Isnin bahawa ia telah menghentikan penerbangan semua pesawat Boeing 737 MAX 8 sehingga diberitahu kelak, susulan dari tragedi pada Ahad lalu.

“Walaupun kita masih belum mengenalpasti punca kemalangan tersebut, kami perlu membuat keputusan untuk tidak menerbangkan pesawat model tersebut sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Syarikat penerbangan terbesar Afrika Selatan Comair juga berkata mereka telah “membuat keputusan untuk mengeluarkan 737 MAX dari jadual penerbangannya”.

Cayman Airways pula berkata bahawa ia akan menggantung semua penerbangan bagi dua pesawat 737 MAX 8 “sehingga lebih maklumat diterima”.

Syarikat penerbangan Brazil, Gol, mengumumkan di dalam kenyataan pada Isnin (11 Mac) bahawa ia telah membuat penggantungan sementara operasi komersial bagi pesawat-pesawat Boeing 737 MAX 8 syarikat itu.

Kata Gol, ia akan melakukan apa sahaja yang mungkin dilakukan untuk membenarkan ia menyambung semula penerbangan bagi pesawat-pesawat yang terlibat dengan secepat mungkin.

Syarikat penerbangan Mexico Aeromexico berkata bahawa mereka telah menggantung operasi enam buah pesawat Boeing 737 MAX 8 sehingga maklumat yang lebih jelas tentang penyiasatan kejadian pada Ahad lalu diperoleh.

“Penerbangan yang menggunakan pesawat ini akan digantikan menggunakan pesawat-pesawat lain,” katanya.

Singapura meningkatkan larangan

CAAS, badan kawal selia di Singapura telah meningkatkan larangan dengan melarang semua variasi pesawat Boeing 737 MAX daripada tiba di dan berlepas dari Republik ini, ianya diumumkan pada Selasa (12 Mac).

“Penguatkuasa Penerbangan Sivil Singapura (CAAS) telah menggantung sementara semua operasi variasi pesawat Boeing 737 MAX dari memasuki dan keluar dari Singapura berikutan dua kejadian kemalangan maut yang melibatkan pesawat Boeing 737 MAX dalam masa kurang daripada lima bulan,” menurut CAAS dalam satu kenyataan.

Penggantungan itu akan bermula pada jam 2 petang hari ini, tambah badan berkuasa tersebut.

“Semasa dalam tempoh penggantungan, CAAS akan mengumpul lebih banyak maklumat dan mengkaji risiko keselamatan yang berkaitan dengan penyambungan operasi pesawat Boeing 737 MAX untuk terbang keluar dan masuk ke Singapura,” menurut CAAS.

“CAAS sedang mengikuti rapat situasi ini dan sedang dalam komunikasi rapat bersama Badan Pentadbiran Penerbangan Amerika Syarikat dan juga pengawalselia penerbangan yang lain, termasuklah Boeing.”

SilkAir, yang mengendalikan enam buah pesawat Boeing 737 MAX, memberitahu bahawa penerbangannya telah terjejas.

Check Also

Buku Teks Bahasa Cina Darjah 2 menceritakan tentang mendiang LKY sebagai ‘Petani Agung’ yang membangunkan negara ini

Laman Facebook Diari Rakyat Singapura di Pulau Merlion (獅子島上: 新加坡人生活日記) telah berkongsi sebuah foto Buku …