Home / Alam Sekitar / 13 sekolah tutup akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Johor

13 sekolah tutup akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Johor

Sebanyak 13 sekolah ditutup susulan kejadian pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang pada Khamis lepas.

Murid-murid SK Taman Pasir Putih berkumpul di hadapan pagar sekolah menunggu waris masing-masing selepas sekolah berkenaan diarahkan tutup pada 11 Mac, 2019. –fotoBERNAMA

 

Memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor Dr Sahruddin Jamal pada Selasa (12 Mac) berkata, sekolah-sekolah berhampiran Pasir Gudang akan ditutup sehingga satu tarikh yang ditetapkan.  Selain itu, satu Jawatankuasa Kerja telah diaktifkan bagi menangani kejadian pembuangan sisa bahan kimia di sungai tersebut.

Sekolah-sekolah yang terlibat adalah:

SK Taman Pasir Putih

SMK Taman Pasir Putih

SK Tanjung Puteri Resort

SMK Tanjung Puteri Resort

SK Kota Masai 2

SMK Kota Masai 2

SK Kota Masai 3

SMK Kota Masai 3

SMK Kota Masai

SK Kota Masai

SK Perigi Acheh

Sekolah Agama Kampung Pasir Putih

Sekolah Agama Taman Pasir Putih

“Mesyuarat bersetuju untuk melantik kontraktor yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar bagi melaksanakan kerja-kerja pembersihan di Sungai Kim Kim sepanjang 1.5km yang akan diselaraskan oleh pihak Jabatan Pengairan & Saliran dan Jabatan Alam Sekitar Negeri.

“Ini adalah lanjutan daripada kerja-kerja pembersihan yang telah dilakukan pada 7 dan 8 Mac 2019,”katanya dalam kenyataan tersebut.

Sultan Johor Murka

Susulan daripada kejadian pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar yang murka dan kesan dengan insiden itu bertitah, pihak berkuasa perlu melakukan siasatan secara menyeluruh sekaligus mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab.

“Ini adalah rakyat saya dan saya tidak akan membenarkan perkara ini melarat.  Saya menggesa semua pihak berkuasa kerajaan untuk segera menangkap dan menghukum pelakunya,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Royal Press Office (RPO) menerusi Facebook rasmi baginda di Johor Bahru, pada Selasa.

Tular “Red Alert palsu di aplikasi Facebook dan Whatsapp

Kenyataan mengenai pengisytiharan amaran ‘Red Alert’ yang disebarkan di laman Facebook dan Whatsapp dan dikatakan dikeluarkan oleh pihak pengurusan hospital berikutan kes pencemaran kimia di Pasir Gudang adalah tidak benar.

Dr. Sahruddin dalam satu kenyataan ringkas di sini mengenai perkara itu berkata, “Tidak betul”.

Kenyataan tular itu antara lain mendakwa pengarah hospital mengisytiharkan amaran ‘Red Alert’ kerana pencemaran udara yang tersebar di Pasir Gudang.  Ia turut mendakwa angin yang bertiup kencang menyebarkan toksik dan menyebabkan ramai penduduk di Seri Alam dan Plentong dimasukkan ke hospital.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) hari ini mengesahkan tiada sebarang kematian akibat dari kejadian pembuangan sisa toksik di daerah Johor Bahru seperti yang tular di media sosial.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Selahuddeen Abd Aziz turut menafikan penularan kenyataan melalui Whatsapp mengenai pengisytiharan ‘Red Alert’ oleh pihak Hospital Sultan Ismail Johor Bahru yang turut tular pada Selasa.

“JKNJ ingin menasihatkan orang ramai supaya mengelak daripada mempercayai dan menyebar maklumat palsu yang boleh menimbulkan kerisauan.

“Pihak JKNJ juga menyeru agar masyarakat lebih prihatin dan hanya mendapatkan maklumat sahih dari pihak berwajib.

“Maklumat terkini keadaan akan disiarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Peringatan kepada orang ramai

Orang ramai di sekitar kawasan terlibat dinasihatkan agar segera mendapatkan rawatan jika terdapat gejala-gejala seperti sakit dada, pedih mata dan sesak nafas, selain kerap mandi dan menggunakan sumber air terawat.

Dr Sahruddin Jamal, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor meminta kerjasama orang ramai agar tidak mendekati kawasan terlibat.

Sumber : Astro Awani dan Bernama

Check Also

Suspek tunggal bagi kes pembunuhan Kim Jong Nam bakal dibebaskan

Wanita warga Vietnam yang didakwa dengan tuduhan membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara akan dibebaskan …